Nahas LPT: Hasrat Nurul Syafiqah dijemput adik-beradik tidak kesampaian
Bernama
November 12, 2022 22:56 MYT
November 12, 2022 22:56 MYT
MARAN: Pelajar tahfiz, Nurul Syafiqah Yusri sepatutnya pulang ke kampung halaman di Kulai, Johor, hari ini bersama abang, kakak dan dua adiknya, namun hasrat itu tidak kesampaian apabila tiga daripada mereka maut dalam perjalanan menjemputnya di pusat tahfiz tempat dia belajar.
Nurul Syafiqah, 18, berkata dia berasa pelik apabila bapa saudaranya yang 'muncul' di pusat tahfiznya di Jerantut dekat sini, kerana sepatutnya adik-beradiknya yang akan datang mengambil, sebelum diberitahu mengenai berita buruk itu oleh bapa saudaranya.
"Saya menghubungi keluarga Sabtu lepas untuk meminta dijemput hari ini. Sejak pagi saya sudah bersiap menanti kehadiran kakak dan abang, tetapi tiba-tiba pak cik yang sampai pada 10 pagi dan beritahu mereka sudah tiada," katanya kepada Bernama semasa ditemui di pekarangan Unit Forensik di Hospital Jengka di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 7 pagi tadi, abang Nurul Syafiqah, Ahmad Basyir, 27, kakaknya Siti Fatimah, 20, dan adiknya Saiedah, 15, maut selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mereka terbabas di kilometer 165.8 Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) di sini hari ini.
Kemalangan itu turut menyebabkan adik bongsu mereka, Adawiyah, 11, cedera parah di kepala dan dirawat di zon merah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.
Nurul Syafiqah berkata jenazah Ahmad Basyir, Siti Fatimah dan Saiedah yang masing-masing anak kedua, lima dan tujuh daripada lapan beradik akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Jengka 11 di sini, sebaik urusan bedah siasat selesai, kerana mereka pernah menetap di tanah rancangan itu sebelum berpindah ke Kulai.
Sementara itu, bapa saudara mangsa Muhatair Muhammad, 40, menyifatkan semua anak saudarnya itu sebagai anak yang baik dan sangat rapat antara satu sama lain, dan kali terakhir mereka bertemu tiga hari lepas.
"Saya ke rumah mereka di Kulai dan sempat membawa Saiedah serta Adawiyah berjalan-jalan...semasa itu, mereka ada memberitahu tak sabar nak ke Jerantut bagi mengambil Nurul Syafiqah," katanya.
-- BERNAMA