Nahas Litar Dato Sagor: Tiada kompromi soal keselamatan - Exco Perak

Abd Razak Mohd Ali
Januari 1, 2023 09:40 MYT
Rakaman kejadian itu yang tular di media sosial memaparkan dua buah kereta yang sedang berlumba bergesel hingga menyebabkan salah sebuah kenderaan tersebut terbabas. -Foto Sinar Harian/media sosial
IPOH: Kerajaan negeri Perak akan mendapatkan laporan penuh berhubung kemalangan maut membabitkan seorang penonton yang dirempuh kereta lumba di Litar Dato Sagor, Kampung Gajah, semalam.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, beliau akan meminta laporan insiden itu daripada semua pihak berkenaan, khususnya polis dan penganjur.
Menurutnya, dalam apa juga pertandingan sukan seumpama itu, pihak penganjur perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan, termasuk dalam soal keselamatan.
“Ciri keselamatan mesti diutamakan, misalnya perlu ada ‘marshal’ dan teknikal yang mengendalikan kejohanan supaya kejadian yang tidak diingini dapat dielakkan,” tegasnya.
Beliau ditemui selepas Program Starvendors Foodstival TravelPeraklah 2022 dan Pelancaran Tahun Melawat Ipoh 2023 di Pekarangan Stadium Indera Mulia, di sini, malam tadi.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan.
“Kita akan pastikan pihak penganjur mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
“Kalau didapati mereka mengabaikan dari segi pelaksanaan SOP dan peraturan teknikal, mereka boleh diambil tindakan kerana kelalaian dan kecuaian,” tegasnya.
Dalam kejadian petang semalam, seorang penonton maut selepas dirempuh kereta yang terbabas dalam satu acara permotoran di Litar Dato Sagor.
BACA: Penonton maut dirempuh kereta di Litar Dato Sagor
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa adalah seorang pengusaha bengkel kenderaan di Kamunting, Taiping.
Menurutnya, hasil bedah siasat mayat lelaki berusia 32 tahun itu di Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan, didapati punca kematian disebabkan kecederaan di kepala dan pendarahan di bahagian paru-paru.
BACA: Nahas Litar Dato Sagor: Mangsa maut akibat cedera di kepala, pendarahan paru-paru
#Litar Dato Sagor #Khairudin Abu Hanipah #Program Starvendors Foodstival TravelPeraklah 2022 #penonton maut dirempuh kereta lumba
;