Nahas LATAR: Atlet paralimpik alami kemalangan langgar lari
Mariah Ahmad
September 7, 2017 13:06 MYT
September 7, 2017 13:06 MYT
Dua atlet para berbasikal antara lima individu terbabit dalam kemalangan langgar lari di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor Expressway (LATAR) di Kuala Selangor, pagi tadi.
Ketika dihubungi Astro AWANI, pihak LATAR mengesahkan kejadian tersebut kira-kira jam 10.36 pagi tadi.
Pihak Polis Trafik Kuala Selangor turut mengesahkan insiden tersebut berlaku di Kilometer 12.5 Lebuh Raya LATAR menghala Kuala Selangor.
Kemalangan tersebut melibatkan empat atlet berbasikal daripada Majlis Sukan Negara (MSN) yang sedang menjalani latihan bersama satu pengiring bermotosikal. Kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan parah.
Polis turut menyatakan lima mangsa kemalangan itu telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Berikut adalah senarai mangsa yang terlibat:
- Khairul Nizam Mohd Ali (Atlet Paralimpik)
- Khairul Hazwan Wahab (Atlet Paralimpik)
- Nursyafik Suhaimy (Atlet Normal)
- Mohd Ridzuan Zainal (Atlet Normal)
- Johari Mohd Nayan (Jurulatih)
Sementara itu, polis turut mengesahkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux terlibat dalam kemalangan ini dan masih dikesan, termasuk melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Difahamkan kedua-dua atlet paralimpik itu menjadi prospek dua pingat emas kontinjen negara dalam Acara Lepas Beramai-Ramai dan Ujian Masa pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur, yang akan bermula 17 sehingga 23 September depan.
Menurut polis, empat basikal dan satu motosikal yang ditunggang atlet dan pengiring tersebut menuju ke arah Rawang daripada arah Ijok, dilanggar kereta Hilux yang hendak menukar lorong ke susur Bandar Tasik Puteri, Selangor.
Sejurus kemalangan tersebut, pemandu itu terus melarikan diri daripada tempat kejadian.
Di media sosial, beberapa gambar dan video yang dipercayai berkait dengan kemalangan itu turut tersebar sejak 11.55 pagi tadi.
[LAPORAN LANJUT MENYUSUL]