Nahas Jempol: Pemandu treler direman empat hari
Raffi Bachik
Jun 12, 2017 11:34 MYT
Jun 12, 2017 11:34 MYT
Polis hari ini mendapat perintah reman selama empat hari terhadap pemandu treler yang menghempap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sehingga menyebabkan lapan maut termasuk enam sekeluarga rentung di kilometer 25 jalan Bahau-Keratong semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi Astro AWANI berkata perintah reman itu bermula hari ini sehingga Khamis bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
Katanya lagi, pemandu treler berusia 44 tahun itu juga mempunyai satu rekod kesalahan lampau atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar pada 2012 dan saringan ujian air kencing keatasnya didapati negatif.
Beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian terbabit untuk tampil bagi membantu siasatan pihak polis.
Dalam kejadian 2.20 petang semalam, Proton Exora dinaiki enam beranak terbabit bertembung dengan sebuah treler yang memasuki laluannya sebelum kenderaan mereka dihempap treler berkenaan di kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, berhampiran Ladang Risda Palong, berhampiran Jempol.
Kemalangan yang membabitkan empat kenderaan itu turut meragut dua nyawa suami isteri yang menaiki perodua MyVi.
Pemandu treler dan Toyota Vios tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.