Nahas Jeli: Pemandu bas ekspres didakwa sebabkan kematian empat penumpang

Astro Awani
Disember 31, 2015 14:14 MYT
Pemandu bas ekspres Muhammad Hazil Hakimi Ahmad Zaki, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian empat penumpang. - Foto Bernama
Seorang pemandu bas yang terbabit dalam nahas di Jeli, Kelantan dan mengakibakan empat maut pada Jumaat lalu didakwa di mahkamah Majistret Machang kerana memandu dengan cuai.
Tertuduh, Mohd Hazil Hakimi Ahmad Zaki, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Majistret Amal Razim Alias membenarkan tertuduh diikat jamin 8, 000 ringgit dengan seorang penjamin dan lesen memandunya juga turut digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 6 Mac bagi sebutan semula kes.
Tertuduh didakwa mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.
Berdasarkan kertas pendakwaan, tertuduh didakwa memandu sebuah bas ekspres di kilometer 124 Lebuhraya Jeli-Grik secara cuai sehingga mengakibatkan kematian empat penumpangnya, kira-kira jam 1.30 pagi pada 25 Disember lalu.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, bas dari Taiping, Perak itu hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bergesel sebuah lori muatan papan.
Akibat pergeseran itu, empat penumpang Hasiah Osman, 57, anaknya, Mohamad Amir Abdul Rahim, 16, Nur Afiqah Alimi Mohd Ali, 19 dan Mohd Syafiq Azrol Azni, 25, terkorban.
#bas ekspres #jeli #machang #Muhammad Hazil Hakimi Ahmad Zaki
;