Nahas Jambatan Pulau Pinang: Pemandu Vios positif ganja

Astro Awani
Januari 21, 2019 12:26 MYT
Keadaan kereta Vios selepas kemalangan yang menyebabkan sebuah kereta lain terhumban ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang. -Gambar fail
Pemandu Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang awal pagi Ahad didapati positif ganja.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata keputusan itu diketahui hasil ujian saringan awal ke atas pemandu berusia 21 tahun itu.
Menurut Nik Ros Azhan, polis juga sudah mengambil sampel darah mangsa untuk mengetahui kandungan alkohol dalam badannya.
"Kita telah buat ujian urin pada pemandu kereta Vios itu dan mendapati dia positif ganja. Kita juga telah ambil sampel darah untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk membuat pemeriksaan lanjut berkaitan kandungan alkohol dan juga kandungan dadah," kata Nik Ros Azhan.
Menurutnya, pemandu Toyota Vios berkenaan masih mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta kerana mengalami kecederaan di kepala, kaki dan tangan.
Sebelum itu, pemandu berkenaan mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya dan telah dibenarkan pulang, namun dia pengsan ketika berada di rumahnya sebelum dikejarkan ke hospital swasta.
Jelas Nik Ros Azhan, polis telahpun mengambil keterangan daripada beberapa saksi termasuk rakan-rakan pemandu SUV serta orang awam yang menyaksikan kejadian.
"Siasatan awal kita mendapati dia merupakan rakan mangsa dan mereka berhibur bersama tujuh rakan lain di Lebuh Chulia. Kemudian lebih kurang 2.30 pagi, mereka keluar dari pusat hiburan dan pulang ke rumah.
"Pemandu kereta Vios dan mangsa pulang ke arah Perai, Butterworth manakala lima yang lain tinggal di pulau.
Dalam kejadian 2.45 pagi Ahad itu, dua kenderaan iaitu Toyota Vios hitam dan SUV putih terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menuju ke Perai.
Identiti pemandu SUV dikenal pasti sebagai Moey Yun Peng, 20, selepas bapanya membuat laporan polis pada 5 petang Ahad apabila anaknya yang juga penuntut sebuah kolej swasta tidak pulang.
#Hospital Seberang Jaya #Jambatan Pulau Pinang #kemalangan #Lebuh Chulia #Moey Yun Peng #Nik Ros Azhan #Seberang Perai #Toyota #Toyota Vios
;