Nahas helikopter TLDM: Keluarga Muhammad Firdaus terima dengan hati terbuka laporan akhir
Bernama
Jun 2, 2024 17:00 MYT
Jun 2, 2024 17:00 MYT
GEORGE TOWN: Keluarga Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli yang terkorban dalam nahas membabitkan dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak April lepas menerima dengan hati terbuka laporan akhir siasatan yang dikeluarkan Khamis lepas.
Bapa Allahyarham, Ramli Abd Hamid, 68, berkata mereka sekeluarga berpuas hati dengan laporan akhir tersebut dan menerima segala ketentuan takdir yang ditetapkan oleh Allah kepada keluarganya dengan kematian Muhammad Firdaus atau lebih mesra dipanggil "Tuan Kecik".
"Kami sekeluarga telah dijemput oleh pihak TLDM untuk mendengar sendiri laporan akhir itu di Lumut pada Jumaat lalu dan saya mewakili keluarga redha serta berlapang dada (dengan laporan tersebut).
''Benda (nahas helikopter) dah berlaku, kita tak dapat pertikai pun dan Allah takdirkan yang baik untuk kita dan arwah anak saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Persiaran Pantai Jerejak, di sini hari ini.
Dalam tragedi 23 April lepas, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) serta tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki terbabit insiden semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.
Muhammad Firdaus, 44, yang terkorban dalam nahas itu meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki berusia empat tahun dan Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, di sini.
Ramli berkata hari ini genap 40 hari anak sulungnya dari tujuh beradik itu meninggal dunia dan beliau sekeluarga melaksanakan majlis tahlil di rumah untuk mendoakan kesejahteraan arwah anaknya itu.
Beliau berkata paling mengharukan ialah kubur anak sulungnya itu juga sentiasa dikunjungi orang ramai, malah bunga-bunga segar sentiasa berada di atas kubur arwah.
Sebagai seorang bapa, memang tidak dapat dinafikan perasaan sedih kerana kehilangan anak itu sentiasa ada, namun beliau tidak boleh terlalu bersedih di atas takdir Allah, tambah beliau.
Khamis lepas, Lembaga Siasatan mendapati faktor utama yang menyebabkan nahas membabitkan dua helikopter pada 23 April lepas adalah disebabkan helikopter Fennec terbabit tidak berada pada ketinggian serta haluan ditetapkan, dan memasuki laluan Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139).
Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata faktor sekunder nahas itu pula adalah disebabkan channelized attention oleh kru helikopter HOM-AW139 yang tertumpu ke arah penukaran haluan sehingga menghadkan reaksi untuk mengelak pelanggaran daripada berlaku.
-- BERNAMA