Nahas helikopter TLDM akibat haluan salah
Astro Awani
Mei 30, 2024 12:34 MYT
Mei 30, 2024 12:34 MYT
KUALA LUMPUR: Faktor utama nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 23 April lalu adalah akibat helikopter Fennec tidak berada pada ketinggian dan haluan ditetapkan.
Panglima TLDM, Laksamana Madya Tan Sri Abdul Rahman Ayob memberitahu, ia memasuki laluan helikopter AW-139.
Perkara ini dimaklumkan ketika mengumumkan laporan penuh nahas helikopter TLDM.
Menurut beliau, kedua-dua helikopter didapati berada dalam keadaan selamat untuk terbang semasa hari kejadian.
Beliau turut mendedahkan punca sekunder nahas helikopter TLDM adalah 'channelise attention' oleh krew helikopter AW139 tertumpu ke arah penukaran haluan dan ini telah menghadkan reaksi elak pelanggaran.
Dalam tragedi pada 23 April lepas, 10 anggota dan pegawai TLDM terkorban akibat dua helikopter berkenaan bergesel dan terhempas.
Kejadian berlaku semasa mereka menjalani raptai lintas hormat bersempena ulang tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.
Mangsa terdiri daripada tujuh kru helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM.
Susulan nahas itu, lembaga siasatan telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas dua helikopter terbabit.
Laporan interim insiden berkenaan pada 9 Mei lepas mengesahkan tahap kesihatan kesemua kru udara yang terlibat dalam nahas itu berada dalam keadaan yang baik untuk mengendalikan pesawat dan kedua-dua helikopter berkenaan berada dalam keadaan 'airworthy' (selamat untuk terbang) semasa hari kejadian.