Nahas helikopter Taman Melawati: Proses bedah siasat dijangka dijalankan esok - Keluarga mangsa

Hasimi Muhamad
November 8, 2020 19:19 MYT
Dalam kejadian pada pukul 11.20 pagi itu, dua buah helikopter (9M-HCA dan 9M-HCB) jenis G2CA yang sedang melakukan latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) dilaporkan bertembung. - Foto pembaca Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Proses bedah siasat ke atas jenazah mangsa insiden nahas helikopter dekat Taman Melawati tengah hari tadi dijangka dijalankan pada Isnin.
Menurut abang sulung Allahyarham Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, Dr Mohd Ezani Mohamed Rawi, pihaknya dimaklumkan bahawa ujian saringan COVID-19 perlu dilakukan terlebih dahulu ke atas jenazah mangsa.
“Selepas keputusan COVID-19 baru akan diteruskan kepada bedah siasat dan sebagainya.
“Tetapi kalau positif Kementerian Kesihatan akan mengambil terus, itu prosedur operasi standard (SOP).
“Sekiranya negatif, bedah siasat dijangka esok. Hari ini (Ahad) akan ambil sampel darah,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Canselor Tuanku Mukriz (HCTM) di sini pada Ahad.
Jelas beliau, setakat ini pihak keluarga masih belum dibenarkan untuk melakukan proses pengecaman jenazah.
“Tiada siapa lagi dibenarkan sebab keputusan COVID-19 belum diketahui lagi.
"Sekarang ini semua (jenazah) diasingkan sebab itu dia (jenazah) dizipkan. Maksudnya, mereka perlu sahkan terlebih dahulu sama ada positif atau negatif,” ujar beliau lagi.
Terdahulu jenazah Allahyarham Mohd Irfan Fikri, 41, dan Mohd Sobri Baharom, 56, tiba di HCTM sekitar pukul 4.23 petang.
Dalam kejadian pada pukul 11.20 pagi itu, dua buah helikopter (9M-HCA dan 9M-HCB) jenis G2CA yang sedang melakukan latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) dilaporkan bertembung.
Akibat daripada pertembungan tersebut, salah sebuah helikopter terhempas, sementara sebuah lagi berjaya membuat pendaratan cemas di kawasan lapang berdekatan SJKT Taman Melawati.
LAPOR LANGSUNG: Helikopter terhempas di Taman Melawati
#COVID-19 #helikopter terhempas #Taman Melawati #Mohd Fikri #Mohd Sobri Baharom
;