Nahas helikopter Taman Melawati: Polis rekod keterangan tujuh saksi, 20 lagi akan dipanggil
Umavathi Ramayah
November 9, 2020 17:11 MYT
November 9, 2020 17:11 MYT
KUALA LUMPUR: Polis setakat ini telah merekodkan percakapan tujuh saksi berhubung insiden helikopter terhempas berhampiran Taman Melawati, Ulu Kelang, pada Ahad yang meragut dua nyawa.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, selain itu 20 lagi saksi yang telah dikenal pasti akan dipanggil dalam masa terdekat untuk direkodkan keterangan.
"Polis masih menjalankan siasatan dari pelbagai sudut.
"Ekoran itu kita menasihati orang ramai supaya tidak berkongsi video atau gambar berkait kejadian itu di media sosial bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan komen-komen tidak wajar yang boleh menganggu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohamad Farouk memaklumkan bedah siasat ke atas Mohamamed Sabri Baharom yang merupakan juruterbang helikopter itu selesai kira-kira pukul 11 pagi sementara Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, yang duduk di tempat penumpang selesai kira-kira dua jam kemudian.
Keputusan penuh hasil bedah siasat katanya, dikemukakan sejurus mendapat laporan penuh makmal dalam masa terdekat.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," ujarnya.
Selain itu, maklumat juga boleh disalurkan menerusi talian 03-4289 7343 atau 03-4289 7344.