Nahas helikopter Taman Melawati: Jenazah Allahyarham Mohd Sabri selamat dikebumikan
Hasimi Muhamad
November 9, 2020 14:26 MYT
November 9, 2020 14:26 MYT
KUALA LUMPUR: Jenazah mangsa nahas helikopter, Allahyarham Komander (B) Mohd Sabri Baharon selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves di sini sekitar 2.20 petang.
Upacara pengebumian dihadiri keluarga, kenalan terdekat dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Turut kelihatan hadir ialah Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.
Difahamkan, hanya 20 individu dibenarkan hadir susulan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan COVID-19.
Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat dibedah siasat sekitar pukul 11.30 pagi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Jenazah kemudian diserahkan kepada TLDM untuk dikafan dan solat jenazah, sebelum jenazah dibawa ke kediaman keluarga di Taman Wangsa Melawati.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, dua helikopter yang berlepas dari Lapangan Terbang Subang Jaya ke Genting Sempah disahkan bertembung di udara sebelum salah sebuah terhempas di Taman Melawati, Hulu Kelang.
Dua mangsa disahkan maut iaitu Mohd Irfan Mohamed Rawi, 41, dan Mohd Sabri Baharon, 56.
Sebuah lagi helikopter dinaiki bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan Tan Chai Elan sempat membuat pendaratan cemas dan mereka dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
#nahas helikopter Taman Melawati
#Mohd Sabri Baharon
#Ahmad Jauhari Yahya
#Nahas
#Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah
#Batu Caves
#jenazah
#kebumi