Nahas helikopter Taman Melawati: BSKU mulakan siasatan, laporan awal dalam 30 hari - MOT

Harits Asyraf Hasnan
November 8, 2020 15:02 MYT
Siasatan teknikal tersebut adalah berdasarkan Annex 13 Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13). - Foto pembaca Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan memulakan siasatan berhubung nahas dua helikopter di Taman Melawati, Ampang hari ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata laporan awal siasatan perlu disediakan dalam masa 30 hari dari tarikh kejadian kemalangan udara tersebut.
"Tujuan utama penyiasatan dilaksanakan adalah untuk menentukan hal keadaan dan punca kemalangan dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawa dan juga mengelakkan berlaku kemalangan yang sama di masa hadapan.
"Dalam hubungan ini, penyiasatan yang dilaksanakan tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, siasatan teknikal tersebut adalah berdasarkan Annex 13 – Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13).
Katanya, pasukan penyiasat tersebut akan mengeluarkan satu laporan penuh berhubung hasil siasatan termasuk syor penambahbaikan bagi keselamatan penerbangan awam setelah keseluruhan siasatan selesai.
"Dapatan daripada hasil laporan tersebut akan digunakan oleh Kerajaan sebagai asas untuk mengemukakan syor-syor penambahbaikan secara holistik terhadap industri penerbangan awam negara," ujarnya.
BACA: LAPOR LANGSUNG: Helikopter terhempas di Taman Melawati
BACA: Nahas helikopter Taman Melawati: Polis sahkan identiti dua mangsa maut
Kemalangan melibatkan dua buah helikopter (9M-HCA dan 9M-HCB) dari jenis G2CA yang sedang melakukan latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang bersama 4 orang kru.
Kedua-dua helikopter ini dilaporkan bertembung sesama sendiri di udara di mana sebuah helikopter telah terhempas dan sebuah lagi berjaya membuat pendaratan cemas di kawasan lapang berdekatan SJKT Taman Melawati.
Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KL ARCC) telah diaktifkan untuk membantu dalam usaha pengkoordinasian operasi menyelamat ini.
Sumber Facebook wksbmenglish
#nahas helikopter #Taman Melawati #Annex 13 #nahas udara #ICAO #Wee Ka Siong #Kementerian Penangkutan #CAAM
;