Nahas helikopter Taman Melawati: Allahyarham Mohd Sabri tinggalkan legasi - Panglima TLDM

Hasimi Muhamad
November 9, 2020 15:30 MYT
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, Allahyarham yang berkhidmat lebih 30 tahun dalam TLDM meninggalkan sebuah legasi khususnya dalam dunia penerbangan. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyifatkan pemergian Allahyarham Komander (B) Mohd Sabri Baharon yang terkorban dalam nahas helikopter pada Ahad merupakan satu kehilangan besar buat negara.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, Allahyarham yang berkhidmat hampir 30 tahun dalam TLDM meninggalkan sebuah legasi khususnya dalam dunia penerbangan.
“Beliau (arwah) telah menetapkan standard penerbangan yang sangat tinggi dan masih menjadi ikutan mereka yang masih berkhidmat dalam TLDM.
“Walaupun arwah meninggalkan TLDM lebih 10 tahun tetapi arwah sangat mengambil berat tentang apa yg berlaku dalam TLDM khususnya dalam cawangan udara,” katanya kepada pemberita selepas upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, di sini pada Isnin.
LAPOR LANGSUNG: Helikopter terhempas di Taman Melawati
Jelas Mohd Reza, Allahyarham yang merupakan anak kedua daripada lima beradik sangat menyayangi bidang penerbangan.
Tambah beliau, arwah yang berusia 56 tahun antara individu terawal yang menceburi bidang penerbangan di TLDM.
“Ramai anak murid beliau datang untuk memberikan penghormatan terakhir dan kami akan merindui beliau,” katanya.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Mohd Sabri selamat dikebumikan pada pukul 2.20 petang.
Upacara pengebumian dihadiri oleh keluarga dan kenalan terdekat termasuk pegawai TLDM.
Turut hadir ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Datuk Ahmad Jauhari Yahya.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, dua helikopter yang berlepas dari Lapangan Terbang Subang Jaya ke Genting Sempah disahkan bertembung di udara sebelum salah sebuah terhempas di Taman Melawati, Hulu Kelang.
Dua mangsa disahkan maut iaitu Mohd Irfan Mohamed Rawi, 41, dan Mohd Sabri.
Sebuah lagi helikopter dinaiki Ahmad Jauhari dan Tan Chai Elan sempat membuat pendaratan cemas dan mereka dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
#nahas helikopter Taman Melawati #Mohd Sabri Baharon #korban nahas helikopter #Panglima Tentera Laut #Mohd Reza Mohd Sany #Ahmad Jauhari Yahya #TLDM #jenazah
;