Nahas helikopter: Rangkuman hari ketiga operasi SAR

Astro Awani
Mei 7, 2016 01:41 MYT
nak perempuan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mendiang Datuk Dr Sundaran Annamalai kelihatan hiba disisi keranda bapanya sejurus tiba di Subang awal pagi tadi. - Gambar Bernama
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) nahas helikopter RPC6828 untuk mencari seorang lagi mangsa nahas helikopter hilang yang dalam perjalanan balik dari Betong ke Kuching di Sarawak akan disambung awal pagi Ahad.
Setakat jam 8 malam Sabtu, sejumlah lima mayat daripada enam mangsa telah dijumpai yang mana mayat pertama dijumpai sekitar tengah hari Jumaat.
Empat lagi mangsa telah dijumpai semalam selepas misi SAR hari ketiga digerakkan secara agresif seawal jam 6 pagi.
Mayat pertama yang ditemui ialah Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC) Datuk Noriah Kasnon, diterbangkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk proses bedah siasat sebelum diterbangkan pulang ke Semenanjung menaiki penerbangan ihsan pesawat Hercules C130 dari Pangkalan Udara TUDM, Kuching malam Jumaat.
IKUTI LAPOR LANGSUNG NAHAS HELIKOPTER SARAWAK DI SINI
Jenazah Noriah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Parit 2 di Kampung Parit 2 berdekatan Sungai Burong, Tanjung Karang, Selangor pada jam 2 pagi awal Sabtu.
Mayat Ketua Setiausaha MPIC Datuk Dr Sundaran Annamalai merupakan mayat kedua yang dijumpai diikuti mayat pengawal peribadi Noriah iaitu Ahmad Sobri Harun dan mangsa keempat yang dijumpai kira kira jam 12 tengahari dan kira kira 3.20 petang.
Kesemua mayat yang ditemui hari ini berhampiran antara satu sama lain dan tidak jauh dengan lokasi penemuan mayat pertama.
Sekitar jam 6 petang, mayat kelima telah dijumpai lebih kurang 2.5km dari pusat SAR di Lingga yang terletak kira 250km dari Kuching. Namun, identiti mayat masih belum dikenal pasti buat masa ini.
Kesemua mayat berkenaan telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, mayat Sundaran telah diterbangkan mengunakan pesawat milik TUDM C130 berlepas dari TUDM Kuching ke Subang kira kira jam 10 malam tadi dan tiba di Subang pada jam 11.45 malam.
Beliau turut diiringi oleh isteri dan anak anaknya.
Portal berita Utusan Malaysia melaporkan mayat kelima telah dkenal pasti sebagai Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad. Jenazah Wan Mohammad dijangka diterbangkan awal pagi Ahad.
Operasi SAR untuk mencari mangsa terakhir nahas tersebut akan disambung awal Ahad sekitar jam 7,30 pagi.
#Ahmad Sobri Haron #nahas helikopter #Noriah Kasnon #Sungai Batang Lupar
;