Nahas helikopter: Rangkuman hari kedua operasi SAR
Astro Awani
Mei 6, 2016 00:14 MYT
Mei 6, 2016 00:14 MYT
Selepas hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) nahas Eurocopter AS350 berakhir, Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon disahkan sebagai salah seorang daripada enam mangsa terlibat.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan sekitar jam 7.26 pada Khamis malam dan diteruskan secara menyeluruh bermula jam 6 pagi Jumaat.
Pasukan STORM dengan kekuatan 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak dikerah ke lokasi kejadian di Sebuyau, 200 kilometer dari Kuching.
Satu pasukan penyelamat khas pelbagai agensi turut dibentuk, diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan turut disertai anggota tentera untuk mencari helikopter bernombor pendaftaran RP-C6828.
Pada 9.50 pagi Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang media khas di Kuching memberitahu pasukan SAR menemukan serpihan helikopter di Batang Lupar.
JBPM kemudiannya mengumumkan penemuan mayat seorang wanita berhampiran tebing sungai Batang Lupar sekitar pukul 12 tengah hari.
Sehubungan itu, operasi mencari baki lima mangsa lain telah dikecilkan antara Sungai Merah dan Lingga.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon II Sarawak, Azman Julaihi yang mengetuai misi mencari dan menyelamat (SAR) JBPM berkata kawasan berkenaan, kira-kira 250km dari Kuching, dipercayai lebih dekat dengan lokasi tragedi berdasarkan penemuan satu mayat dan serpihan helikopter hari ini.
Mayat Noriah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching dan ahli keluarga telah diterbangkan ke sana.
IKUTI LAPORAN LINTAS LANGSUNG NAHAS HELIKOPTER ASTRO AWANI DI SINI
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menziarahi jenazah Noriah di hospital berkenaan.
Jenazah Noriah dibawa pulang malam tadi diiringi anak-anaknya dan tiba di pangkalan TUDM Subang sekitar jam 10.30 malam sebelum dibawa ke Tanjung Karang untuk dikebumikan.