Nahas helikopter Lumut: Video persiapan Raya jadi kenangan terakhir bersama arwah - Abang
Astro Awani
April 23, 2024 18:45 MYT
April 23, 2024 18:45 MYT
YAN: "Arwah teruja sediakan segala persiapan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan dia banyak ambil video."
Luahan rasa hiba itu disuarakan Abdul Latif Anuar, 46, abang kepada Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar, 39, yang merupakan salah seorang mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pagi tadi.
Mengimbau kenangan terakhir itu, dia berkata arwah yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik itu begitu teruja membuat persiapan Aidilfitri dengan memesan langsir baharu berwarna putih dan keemasan.
"Kali terakhir saya jumpa dia semasa dia pulang untuk beraya hari itu dan dia memang nampak begitu teruja hendak pasang langsir baharu.
"Semasa orang datang pasang langsir di rumah pun dia sibuk ambil video. Selain itu, dia turut mengambil video semasa semua ahli keluarga berkumpul untuk bersalam-salaman.
"Kalau diikutkan macam Raya tahun-tahun sebelum ini, dia tidak rajin untuk buat video macam itu dan mungkin ia kenangan yang dia mahu kami simpan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Perumahan Awam 2, dekat sini, pada Selasa.
Abdul Latif berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa arwah adiknya itu daripada adik iparnya, Azinor Azizan yang menghubunginya kira-kira jam 10 pagi tadi yang meminta supaya dia datang ke Perak dengan segera.
"Adik ipar dengan suara sebak minta saya datang ke Perak dan maklumkan adik jatuh helikopter dan mayatnya masih tidak dijumpai.
"Tetapi, saya tidak boleh ke sana kerana perlu menjaga isteri yang kurang sihat sebelum meminta dua lagi adik lelaki untuk ke sana.
"Memang saya sangat terkejut, kerana kami baru kehilangan ibu tercinta pada Julai tahun lepas.
"Memang berat untuk maklumkan perkara itu kepada ayah kerana dia kurang sihat dan menghidap sakit jantung. Apabila dia tahu tadi, dia termenung dan bergenang air matanya," katanya.
Beliau berkata arwah adiknya yang mempunyai empat orang anak yang berusia di antara enam dan 16 tahun itu memang meminati bidang ketenteraan dan telah beberapa kali mengikuti sesi temu duga sebelum akhirnya diterima bekerja.
"Hari Raya kedua dia sudah pulang ke Lumut dan dia maklumkan dia sibuk dengan raptai sempena sambutan itu.
"Dua, tiga hari lepas saya secara tidak sengaja tertekan nombol telefonnya dan sempat mendengar suaranya, dan itu merupakan kali terakhir dia bergurau dengan saya.
"Kami reda dan sekarang masih menunggu proses seterusnya.
"Apabila semua sudah selesai di Perak, arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Ruat, di sini berhampiran dengan kubur arwah ibu," katanya.