Nahas helikopter Lumut: 'Takut tak sempat lepas ni' - Kakak pilu kenang permintaan terakhir arwah

Adie Sufian Zulkefli
April 23, 2024 17:00 MYT
Noryani menunjukkan gambar adik bongsunya Muhammad Faisol yang terkorban dalam nahas dua helikopter milik TLDM di Pangkalan TLDM, Lumut pagi tadi. -Astro AWANI
SIK: "Adik saya ada minta nak makan nasi dengan telur goreng dan ikan masin... arwah kata dia takut tak dan (sempat) makan dah lepas ni."
Kakak sulung daripada empat beradik, Noryani Tamadun, 50, berkata dia tidak menyangka adik bongsunya Pegawai Waran II, Muhammad Faisol, 36, akan pergi selamanya selepas terlibat dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pagi tadi.
Katanya, kali terakhir mereka sekeluarga berkumpul adalah pada Hari Raya Aidilfitri pertama sebelum dia pulang ke Sabah pada pagi raya kedua.
"Apabila adik saya cakap tak dan nak makan dah, saya terdetik di dalam hati kenapa dia cakap macam ni.
"Selain itu, pada pagi raya, dia ajak ambil gambar bersama kami tiga beradik. Seorang lagi adik perempuan saya yang bekerja polis di Pahang belum sampai lagi.
"Arwah kata kita ambil gambar bertiga dulu, nanti takut seorang hilang, nanti kakak balik (polis) akan ganti. Dia kata mungkin ini gambar terakhir kita.
"Saya pun rasa pelik kenapa dia cakap seorang akan hilang. Masa nak balik pun dia cakap kita jumpa 'last' dah ni.
"Hari ini semuanya terjawab," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung, di sini, hari ini.
Noryani berkata dia reda dengan pemergian adiknya itu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia Januari dan Ogos tahun lalu.
Katanya, arwah yang lebih mesra dengan panggilan Adik Mat sangat manja dengan adik beradik lain dan berhasrat untuk pencen dua tahun lagi.
"Arwah dijangka akan kembali bertugas di Lumut hujung tahun ini, selepas itu dua tahun lagi dia akan pencen dan mahu tinggal di rumah peninggalan orang tua di Kampung Tanah Hitam.
"Rumah itu memang arwah ayah beri kepada adik. Dia kata nak buat homestay dulu sebelum dia pencen," katanya yang berniaga nasi lemak.
Selain itu, Noryani berkata arwah juga bersemangat untuk mengadakan latihan di Pangkalan TLDM Lumut, Perak kerana dapat berjumpa isterinya Nor Syuhada, 37, yang merupakan guru di Sri Iskandar.
"Dia pun ajak kami tengok pertunjukan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 awal bulan depan, tapi saya sudah cakap dengan dia kami tak dapat pergi kerana terlalu jauh," katanya.
Noryani berkata jenazah adiknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sik Dalam, di sini.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak perempuan berusia 10 dan enam tahun.
Muhammad Faisol merupakan antara 10 anggota TLDM yang terkorban dalam nahas dua helikopter di Pangkalan TLDM, Lumut, pagi ini.
Helikopter dinaiki Allahyarham dilapor bertembung di udara dengan sebuah lagi pesawat, ketika menjalani latihan raptai lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.
Berdasarkan laporan, dua helikopter model HOM dan Fennec sebelum itu telah berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi.
Bagaimanapun, berlaku pelanggaran di udara sebelum kedua-dua pesawat terhempas di tangga Stadium Pangkalan TLDM serta berdekatan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.
#nahas helikopter Lumut #Muhammad Faisol #nasi dengan telur goreng dan ikan masin #Noryani Tamadun #permintaan terakhir
;