Nahas helikopter Lumut: Salah seorang mangsa anak jati Bukit Kepong
Sinar Harian
April 23, 2024 19:23 MYT
April 23, 2024 19:23 MYT
JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa nahas membabitkan pertembungan dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Selasa.
Beliau turut berkongsi mengenai salah seorang mangsa terkorban merupakan anak jati Bukit Kepong.
"Tengah hari ini saya telah mendapat khabar duka tentang kemalangan pesawat helikopter TLDM.
"Dimaklumkan juga bahawa salah seorang mangsa Komander Muhamad Amir Mohamad, Pegawai Memerintah Skuadron 502 TLDM yang berpangkalan di Lumut merupakan anak jati Bukit Kepong berasal dari Felcra yang nahas dalam insiden pagi ini.
"Semoga roh Allahyarham mangsa tragedi helikopter TLDM di Lumut dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan berada dalam golongan orang yang beriman serta beramal soleh," ujarnya menerusi muat naik di laman Facebooknya. - Sinar Harian