Nahas helikopter Lumut: Proses bedah siasat dijangka selesai esok
Ridauddin Daud
April 23, 2024 20:32 MYT
April 23, 2024 20:32 MYT
IPOH: Prosedur bedah siasat 10 jenazah nahas helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dimulakan dan dijangka selesai lewat tengah hari pada Rabu.
Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, pihak hospital telah menerima sepuluh jenazah anggota TLDM bagi prosedur bedah siasat sekitar jam 6 petang.
Timbalan Pengarah Perubatan (I) HRPB, Dr Liaw Kok Toon berkata, semua mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut disahkan terkorban di tempat kejadian.
“HRPB dengan ini memohon kerjasama semua pihak untuk memberi ruang memastikan prosedur bedah siasat serta pengecaman mangsa dapat dijalankan dengan lancar oleh pihak Jabatan Forensik HRPB, selain menghormati privasi waris mangsa,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Astro AWANI pada Selasa melaporkan semua jenazah nahas dua buah helikopter milik TLDM yang terhempas di Pangkalan TLDM pagi tadi selamat tiba di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh tepat jam 6 petang pada Selasa.
Jenazah mangsa dibawa ke hospital tersebut menggunakan van jenazah dengan diiringi empat motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lima kenderaan PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).