Nahas helikopter Lumut: "Nampaknya dia yang 'pergi' dulu..." - Ibu Allahyarham Komander Firdaus
Dewi Nur Harasha Alias
April 24, 2024 15:55 MYT
April 24, 2024 15:55 MYT
SUNGAI NIBONG: "Dulu makcik yakin makcik yang akan meninggal dunia dulu daripada dia... makcik tahu dia anak yang bertanggungjawab, dia boleh jaga adik-adiknya dan semua orang, tapi nampaknya dia yang 'pergi' dulu".
Demikian kata Indon Hussin,67, ibu kepada Allahyarham Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli, 44, yang terkorban dalam kejadian dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, semalam.
Dalam tangisan, Indon menyifatkan Muhammad Firdaus sebagai anak yang bertanggungjawab serta contoh yang baik kepada adik-adik yang lain, malah sangat mengambil berat tentang keperluan keluarga.
"Dia umpama tulang belakang keluarga, apa saja keperluan dalam rumah ini dia seboleh mungkin akan penuhi, walaupun duduk berjauhan tapi dia akan selalu ambil tahu, dengan orang luar pun dia banyak membantu.
"Makcik terharu, selepas dia dah tak ada(meninggal dunia) ni, ada orang datang beritahu dia terhutang budi kerana arwah banyak membantu orang yang dalam kesusahan.
"Allah sayang dia... sedih, tapi itulah... (sudah ditakdirkan dia meninggal dunia dan) dia tinggalkan anaknya yang masih kecil," katanya yang tidak dapat menahan tangisan ketika ditemui media di rumahnya di Pantai Jerejak, di sini, hari ini.
Berkongsi mengenai kerjaya anaknya itu, Indon yang terlalu sedih dan meminta gambarnya tidak dirakamkan, berkata Muhammad Firdaus sememangnya bercita-cita menyertai pasukan tentera sejak kecil dan berminat menjadi juruterbang jet pejuang.
Indon berkata anak sulung daripada tujuh beradik itu kemudian berjaya menyertai TLDM, dan dikenali sebagai 'Tuan Kechik' dalam kalangan rakan sekerja.
"Dia periang, disenangi ramai, tapi tegas orangnya terutama soal berkaitan waktu, sampai kadang-kadang kami beritahu dia kami ini orang awam bukan tentera," katanya.
Dalam pada itu, Indon memaklumkan dia tidak melihat jenazah anaknya itu, namun diberitahu jenazah anaknya sempurna oleh anak kelimanya, Muhammad Fairuz yang masuk ke bilik forensik untuk proses pengecaman semalam.
Sementara itu bapa Allahyarham, Ramli Abd Hamid, tidak dapat menahan kesedihan sebaik menunjukkan gambar anaknya kepada pihak media ketika ditemui di perkarangan rumahnya.
Allahyarham bertugas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar, Sabah antara 10 kru yang terkorban dalam nahas dua helikopter TLDM bertembung dan terhempas kira-kira jam 9.45 pagi Selasa.
Kedua-dua helikopter itu dilaporkan sedang menjalani latihan raptai sempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.
Pesawat HOM-AW139 dilaporkan terhempas di dalam kawasan Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec terhempas dekat kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.