Nahas helikopter Lumut: Kru, pesawat dalam keadaan baik - Laporan interim
Bernama
Mei 9, 2024 15:03 MYT
Mei 9, 2024 15:03 MYT
KUALA LUMPUR: Tahap kesihatan kesemua kru udara yang terlibat dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bulan lepas, berada dalam keadaan yang baik untuk mengendalikan pesawat.
TLDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu disahkan menerusi laporan awal insiden berkenaan oleh Lembaga Siasatan, yang turut menyatakan bahawa tahap kelayakan penerbangan kru udara yang terlibat juga masih sah dan tidak tamat tempoh.
Lembaga Siasatan itu turut mendapati kedua-dua helikopter terlibat iaitu Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan Fennec, disahkan berada dalam keadaan airworthy (selamat untuk terbang) semasa hari kejadian.
"Kerja-kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak Pengeluar Peralatan Asal (OEM).
"Keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan," menurut kenyataan itu.
Laporan interim itu membabitkan dua helikopter TLDM yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya pada 23 April lalu.
Menurut kenyataan itu lagi, Lembaga Siasatan mendapati pesawat HOM AW139 mempunyai kotak hitam, manakala pesawat Fennec yang dikeluarkan pada 2003 tidak dilengkapi dengan peralatan terbabit.
"Data yang telah dianalisis daripada Multi Purpose Flight Data Recorder (kotak hitam) pesawat HOM AW139 telah diterima pada 3 Mei daripada pihak OEM untuk penilaian lanjut oleh Lembaga Siasatan," menurut kenyataan itu.
Dalam tragedi pada 23 April lepas, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru HOM-AW139 dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat bersempena dengan sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.
Susulan kejadian itu, Lembaga Siasatan telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian nahas dua helikopter terbabit.
Sementara itu, TLDM memaklumkan Lembaga Siasatan kini sedang berusaha untuk menyiapkan Laporan Akhir yang dijangka selesai pada 29 Mei ini.
Menurut TLDM, Lembaga Siasatan akan terus mengenal pasti aspek-aspek berkaitan yang perlu diteliti dengan lebih mendalam dan menyediakan Laporan Akhir secara menyeluruh dan terperinci.
"TLDM memberi jaminan bahawa siasatan ini dilaksanakan dengan telus dan komprehensif bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," menurut kenyataan itu.
TLDM menjelaskan Lembaga Siasatan sedang meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca atau faktor yang menyumbang kepada insiden terbabit dengan meneliti perkara merangkumi aspek menganalisis semula profil penerbangan pada hari kejadian dengan mensimulasikan ia menggunakan simulator penerbangan dan pesawat sebenar.
"Bantuan dan pandangan daripada pihak Airbus Helicopter sekiranya terdapat data-data pada peralatan pesawat Fennec yang dapat membantu siasatan," menurut kenyataan itu.
Lembaga Siasatan itu dianggotai sembilan pegawai TLDM yang berkepakaran penerbangan dan kejuruteraan udara turut mendapat bantuan daripada Markas Tentera Udara - Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) dan doktor perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Kerjasama, kepakaran dan pandangan daripada pihak OEM iaitu Leonardo Helicopter dan Airbus Helicopter turut dirujuk bagi melengkapkan siasatan termasuk analisis penuh rakaman Multi Purpose Flight Data Recorder (kotak hitam) pesawat HOM," menurut kenyataan itu.
Mengenai kebajikan ahli keluarga mangsa, TLDM memberitahu pihaknya akan terus berusaha untuk memastikan perkara itu diuruskan dengan sebaiknya terutama berhubung ganjaran dan faedah sesuai dengan kelayakan masing-masing.
-- BERNAMA