Nahas helikopter Lumut: Kebajikan, pendidikan anak-anak wira dipastikan tidak terabai - Menteri

Dewi Nur Harasha Alias
April 27, 2024 06:30 MYT
Fadhlina menyampaikan hadiah kepada pengunjung bertuah Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Nibong Tebal, malam tadi.
NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus memastikan kebajikan dan pendidikan semua anak 10 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam tragedi dua buah helikopter bertembung di Lumut, Perak pada Isnin lalu.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM akan membuat susur tindak bagi memastikan kebajikan 10 orang anak mangsa tragedi dijaga sehingga mereka tamat persekolahan kelak.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti seramai 10 anak tentera berkenaan yang bersekolah di bawah kendalian kementerian itu.
Selain itu, katanya, KPM juga akan memberikan bantuan sokongan psikososial sebagai sokongan kepada anak- anak dan keluarga mangsa yang terkesan dengan tragedi tersebut.
“Di peringkat KPM, kita akan teruskan dari segi pembelaan mereka dalam sudut pendidikan begitu juga dengn bantuan-bantuan di peringkat KPM khusususnya untuk pendidikan mereka.
“Ada 10 orang yang masih bersekolah di bawah KPM (dan) kita memang bagi tumpuan penuh pendidikan mereka dan akan pastikan lah kebajikan mereka dijaga,” kata Ahli Parlimen Nibong Tebal itu lagi.
Fadhlina berkata demikian pada majlis sambutan rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Nibong Tebal, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM menerusi Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) dan Yayasan Didik Negara (YDN) juga telah menghulurkan bantuan segera kepada keluarga dan anak anak mangsa sebaik tragedi yang menimpa wira negara terbabit.
Pada Selasa lepas, dua helikopter milik TLDM terhempas ketika menjalani latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, mengorbankan kesemua 10 anggota dalam dua pesawat terbabit.
#nahas helikopter Lumut #pendidikan #helikoter TLDM terhempas #Fadhlina Sidek
;