Nahas helikopter Lumut: Joanna seorang penyayang, sentiasa dahulukan keluarga
Rudi Affendi Khalik
April 23, 2024 19:48 MYT
April 23, 2024 19:48 MYT
SERIAN: Sedih dan muram namun reda, itu yang dapat dilihat pada wajah ahli keluarga mendiang Joanna Felicia Rohna sejurus mendapat perkhabaran duka tragedi pemergiannya pada pagi Selasa.
Neneknya, Rindung Mulo, menyifatkan Joanna sebagai seorang yang cukup penyayang malah selalu mengambil berat akan kebajikan mereka sekeluarga termasuk menyediakan kenderaan untuk dia dan suami ke hospital.
“Dia beli kereta ni supaya senang untuk kami ulang alik ke hospital. Sebelum ini tumpang orang pergi balik setiap hari belanja RM40 mana mampu jadi dia beli kereta untuk kami. Kereta tu tak habis bayar lagi sekarang dia sudah meninggal dunia.
“Masa dia kecil saya tanggung perbelanjaan dia untuk sekolah sampailah dia besar. Sekarang apabila dewasa, dah kerja dan beranak dua dia pun meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarga di Kampung Sumpas Tampek dekat sini pada Selasa.
Tambah datuknya, Tumbo Usen, Joanna juga seorang yang pandai dan dia menyokong cucunya untuk meneruskan pelajaran agar dapat mengubah nasib keluarga.
“Saya suruh dia sekolah sampai tingkatan enam, masa dia tingkatan enam separuh jalan dah kerja. Saya nasihat dia jangan kerja dulu kalau nak dapat kerja bagus kena pandai belajar. Jadi nasib baik dia pandai belajar juga, kami ini pun sudah tua, lebih 70 tahun, sakit juga,” katanya.
Sementara itu adik-adik mangsa, Honey Vivianne Low, 16 dan Diyanne Yanz Love, 14 mendapat perkhabaran itu daripada ayah mereka selepas pulang dari sekolah di SMK Balai Ringin.
“Saya dapat berita masa balik sekolah pun terkejut, tidak percaya, masa itu ayah bagitahu apa yang terjadi dengan kakak saya, saya sangat terkejut. Macam tidak percaya sangat nahas itu berlaku. Itulah, dia pun jarang balik sebab sibuk bekerja.
“Kali terakhir saya berhubung dengan dia pada Sabtu lepas, sempat dia tinggalkan pesanan terakhir untuk jaga nenek, jaga makan, belajar rajin-rajin, semua itulah,” kongsi Diyanne.
Walaupun Joanne jarang balik ke kampung kerana sibuk dengan tuntutan kerja, namun setiap kali pulang dia akan bawa adik-adik keluar dan memasak untuk mereka.
Malah antara pesanan yang sering diberikan adalah untuk belajar bersungguh-sungguh kerana mahu melihat adik-adiknya berjaya.
“Memang rapat dengan dia, paling rindu masakannya iaitu sambal nasi lemak. Dia sibuk jadi waktu cuti sahaja kami berjumpa,” kata Honey.
Difahamkan, kedua dua ibu bapa Joanna telah diterbangkan ke Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Lumut oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Mereka akan menyertai suami dan dua anak mangsa yang masih kecil untuk urusan selanjutnya.