Nahas helikopter Lumut: Jenazah Komander Firdaus dikebumi di Pulau Pinang
Dewi Nur Harasha Alias
April 23, 2024 17:10 MYT
April 23, 2024 17:10 MYT
GEORGE TOWN: Jenazah pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Komander Muhammad Firdaus Ramli ,44, akan dikebumikan di kampung halamannya di Sungai Nibong Besar, Pulau Pinang.
Menurut adik ipar yang mahu dikenali sebagai Lina, 40, pihak keluarga sudah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan sedang menunggu maklumat lanjut daripada ibu dan ayah mentua yang berada di Lumut.
Menurutnya, jenazah abang iparnya akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong Besar.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediaman keluarga mereka di Pantai Jerejak, Pulau Pinang hari ini.
Terdahulu, seramai 10 pegawai dan anggota dilaporkan terkorban dalam nahas dua helikopter TLDM yang bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, kira-kira jam 9.45 pagi Selasa.
Dua helikopter model HOM-AW139 dan Fennec itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi.
Pesawat HOM-AW139 dilaporkan terhempas di dalam kawasan Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec terhempas dekat kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.
Sementara itu, mengulas lanjut, Lina berkata, keluarga mereka masih terkejut dan tidak menyangka pertemuan pada Hari Raya Aidilfitri lalu di Lumut, adalah pertemuan terakhir.
"Saya mula mengetahui mengenai berita ini melalui media sosial pagi tadi. Buat masa ini, kedua ibu bapa mentua termasuk suami saya sudah berada di Pangkalan TLDM untuk urusan berkaitan termasuk proses pengurusan jenazah," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di kediaman mereka di Pantai Jerejak, Pulau Pinang pada Selasa.
Lina berkata, arwah abang iparnya baru dua tahun bertugas di kem berpangkalan di Sabah, dan menjadi rutin setiap pagi Allahyarham menghubungi ibu dan ayahnya bertanya khabar keluarga
"Memang terkejut, abang ipar baru pagi tadi hubungi keluarga, memang setiap masa akan hubungi mereka (ibu dan ayah) termasuk sebelum pergi ke tempat kerja.
"Kali terakhir berjumpa abang ipar pada Hari Raya Aidilfitri lalu di Lumut, kami semua ke sana berjumpa dengannya. Itu kali terakhir kami sekeluarga bertemu," katanya.
Lina berkata, arwah abang iparnya yang berkhidmat dalam pasukan TLDM lebih 20 tahun itu meninggalkan seorang balu dan seorang anak berusia empat tahun.
"Abang rapat dengan adik-beradiknya malah dia antara abang yang banyak berkorban demi adik-adik. Memang sedih dengan apa yang berlaku.
"Buat masa sekarang, adik arwah dan keluarga yang lain masih bersedih dan kami minta kerjasama kepada semua pihak supaya beri ruang untuk keluarga bertenang dan sama-sama menanti perkhabaran seterusnya," katanya.