Nahas helikopter Lumut: DUN Sabah bertafakur seminit hormati mangsa
Mirlen Axtius
April 24, 2024 11:40 MYT
April 24, 2024 11:40 MYT
KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini dimulai dengan bertafakur selama satu minit bagi menghormati dan memperingati 10 mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertembung dan terhempas di Lumut, Perak, semalam.
Ucapan takziah itu disampaikan Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Al Hambra Tun Juhar sebelum memulakan sesi soal jawab pada sidang DUN pagi ini.
"Dewan Undangan Negeri Sabah ingin mengucapkan takziah kepada perwira-perwira negara yang telah terkorban dalam nahas helikopter di Pangkalan TLDM Lumut Perak semalam.
“Sekalung takziah diucapkan kepada keluarga-keluarga mangsa daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan juga Kerajaan Sabah.
"Maka dengan itu pada yang beragama Islam marilah kita sama-sama hadiahkan bacaan Al-fatihah kepada perwira-perwira negara yang telah terkorban dan pada bukan agama Islam marilah kita bertafakur selama seminit mengikut kepercayaan masing-masing,” katanya.
Semalam, tragedi membabitkan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan pesawat Fennec (M502-6) pada 9.32 pagi semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 itu mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita.