Nahas helikopter Lumut: CAAM aktifkan pusat koordinasi menyelamat
Astro Awani
April 23, 2024 12:51 MYT
April 23, 2024 12:51 MYT
KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) memaklumkan, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) telah diaktifkan.
Menurut CAAM, pusat berkenaan mula diaktifkan pada pukul 10.20 pagi bagi penyelarasan operasi menyelamat.
CAAM turut memaklumkan, siasatan lanjut kemalangan akan dijalankan oleh pihak TLDM dari semasa ke semasa.
Pengaktifan KLARCC itu dibuat susulan dua buah helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Pangkalan TLDM, Lumut, pagi ini sehingga mengorbankan 10 nyawa.
Kedua-dua helikopter yang bertembung di udara dan terhempas di itu dilaporkan sedang menjalani Latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.
Berdasarkan laporan, dua helikopter yang terdiri model HOM dan Fennec telah berlepas dari Padang Sitiawan pada 9.03 pagi, pada Selasa.