Nahas helikopter Lumut: Baju raya terakhir ibu jadi kenangan buat anak kembar

Ridauddin Daud
April 23, 2024 22:06 MYT
Pasangan kembar, Nur Qistina Awliyah dan Nur Qistina Auni Mohd Azinor tidak pernah menyangka keriangan beraya bersama ibu mereka (gambar kecil) menjadi antara kenangan terakhir. - Astro AWANI
IPOH : Wajahnya kelihatan sugul, tidak menangis namun di dalam hatinya, tidak siapa yang tahu
Kehilangan ibu tercinta pada usia remaja bukanlah sesuatu yang mudah diterima sesiapa.
Pasangan kembar, Nur Qistina Awliyah dan Nur Qistina Auni Mohd Azinor tidak pernah menyangka kehilangan ibu pada usia 16 tahun.
Mereka reda, namun sebagai anak sulung dan kedua daripada empat beradik, kenangan bersama ibu mereka, Bintara Muda TNL Nor Rahiza Anuar, 39, tidak akan pernah luput dari ingatan.
Lebih meruntun hati, arwah ibu mereka diceritakan begitu semangat menyambut Hari Raya Aidilfitri yang lepas.
Banyak gambar kenangan diambil, seolah-olah mahu meninggalkan ‘pose’ teristimewa buat kenangan anak-anaknya.
“Mama sekarang Navy Day, sibuk. Kadang-kadang pergi pagi, balik malam. Malam pun bila kami pergi tuisyen, balik mama dah tidur.
“Jadi tiada masa sangat dengan mama. Masa hari raya, dia lah yang paling seronok, tangkap gambar semua.
“Papa cakap tengok mama tu, seronok sangat. Mama kata tak apalah, mana tahu ini raya terakhir, bolehlah jadikan kenangan,” katanya ketika ditemui di hadapan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada Selasa.
Menceritakan kisah ibunya, Nur Qistina Awliyah memaklumkan ibunya suka membelikan pakaian dan barangan cantik untuk anak-anaknya.
Setiap kali anak minta, pasti ibunya akan cuba mendapatkannya.
“Dalam banyak-banyak barang yang arwah mama beri, apa yang akan disimpan terus, tidak akan dibuang?” soal wartawan kepadanya.
Nur Qistina Awliyah menjawab: “Baju raya tahun ini,” jawabnya.
Astro AWANI pada Selasa melaporkan seramai 10 orang maut dalam nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut.
Kedua-dua helikopter yang bertembung di udara dan terhempas di itu dilaporkan sedang menjalani Latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.
#nahas helikopter #Nor Rahiza Anuar #anak kembar #Raya #lumut
;