Nahas helikopter Lumut : “Anak saya wira negara” - Bapa
Shuhada Abdul Kadir
April 23, 2024 06:10 MYT
April 23, 2024 06:10 MYT
MUAR: "Tiada apa perlu dikesalkan, anak saya pergi sebagai wira negara."
Itu luahan hiba Mohamad Borak, 71, bapa kepada Komander Muhamad Amir, 44, yang merupakan mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pagi semalam.
Muhamad Amir yang juga Pegawai Memerintah Skuadron 502 TLDM merupakan juruterbang pesawat Fennec yang terlibat nahas ketika mengikuti latihan sempena hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut bersama Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139).
Mohamad berkata, dia menerima khabar duka itu selepas dimaklumkan oleh salah seorang Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Kampung kira-kira pukul 10 pagi Selasa.
"Sebagai bapa tentulah saya terkejut apabila terima berita demikian, tetapi kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku kerana ini adalah resam sebagai pejuang negara.
"Saya juga bekas Askar Wataniah dan apabila rakan-rakan tanya tentang (perasaan) saya ketika ini saya cuma jawab 'anak saya wira negara'," katanya ketika ditemui dikediamannya di Felcra Bukit Kepong, di sini.
Mengulas lanjut katanya, kali terakhir dia bersua muka dengan anak kesayangannya itu adalah pada sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu ketika semua sembilan anaknya berkumpul pulang ke kampung.
Jelasnya, Allahyarham yang merupakan bapa kepada tiga anak itu sememangnya seorang yang ceria dan tidak menunjukkan sebarang sikap luar biasa.
"Apabila kami berkumpul beramai-ramai, Allahyarham seperti biasa sahaja kerana sejak dahulu dia memang yang sentiasa menceriakan suasana dan kalau dia balik kampung tentu rumah kami akan riuh.
"Jadi, saya anggap ini satu kemalangan biasa sebagai pejuang negara dan tidak perlu menuding jari siapa salah,"jelasnya.
Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Bukit Kepong, di sini, pagi ini.