Nahas helikopter: Kedutaan Besar Indonesia serah sepenuhnya kepada Malaysia untuk siasat

Umavathi Ramayah
Februari 6, 2025 17:45 MYT
Hermono berkata pihaknya sudah menghubungi syarikat helikopter yang didaftarkan di Jakarta, Indonesia dan mereka dijangka tiba di Malaysia pada malam Khamis.- Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa Malaysia untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden nahas helikopter pengangkut jenis Bell 206L-4 Long Ranger di Bentong, Pahang yang mengorbankan seorang warga republik itu pada pagi Khamis.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono, berkata pihaknya sudah menghubungi syarikat helikopter yang didaftarkan di Jakarta, Indonesia dan mereka dijangka tiba di Malaysia pada malam Khamis bagi menguruskan penghantaran pulang jenazah mangsa.
"Kita menyerahkan sepenuhnya kepada mereka (pihak berkuasa Malaysia) untuk menyiasat punca yang menyebabkan insiden ini berlaku.
"Kedutaan juga sudah memaklumkan kepada pihak syarikat berkenaan yang berpangkalan di Indonesia mengenai insiden ini, dan wakil mereka akan tiba malam ini. Kedutaan akan membantu memfasilitasi segala urusan syarikat dan pengurusan pemulangan jenazah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Khamis.
Menurut Hermono, bedah siasat dijangka diselesaikan dengan segera, membolehkan jenazah dihantar pulang ke Indonesia selewat-lewatnya dua hari lagi, bergantung kepada proses yang ditetapkan pihak berkuasa Malaysia.
Katanya, pihak Kedutaan Indonesia akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Malaysia serta syarikat helikopter bagi memastikan segala urusan berkaitan berjalan lancar.
Kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu mengorbankan seorag jurutera Finsen Reskey Sembiring, 27, di lokasi akibat terkena kipas utama helikopter itu manakala juruterbang helikopter yang juga warga Indonesia berusia 44 tahun terselamat.
Helikopter yang berlepas dari tapak projek Tenaga Nasional Berhad (TNB), kira-kira 16 kilometer dari lokasi kejadian, dipercayai terhempas selepas skidnya bergesel dengan tanah, mengakibatkan pesawat itu terbalik dan terbakar.
#bedah siasat #helikopter terhempas #Indonesia #Kedutaan Indonesia
;