Nahas helikopter Jalan Lama KL-Bentong ketika mendarat - CAAM

Astro Awani
Februari 6, 2025 13:09 MYT
Menurut pihak berkuasa tersebut, kemalangan dilaporkan melibatkan seorang kru darat manakala seorang juruterbang helikopter berkenaan dilaporkan selamat. - Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat
KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan kemalangan melibatkan sebuah helikopter di tapak pendaratan berhampiran Bentong, Pahang, pada jam 10.26 pagi Khamis.
Menurut CAAM dalam satu kenyataan, helikopter tersebut merupakan jenis Bell 206L4 dengan nombor pendaftaran PK-ZUV.
“Helikopter yang disewa dan dikendalikan oleh MHS Aviation Berhad itu sedang menjalankan penerbangan kerja keudaraan.
“Informasi terakhir yang diterima daripada pihak operator pada jam 10.18 pagi kepada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan (FIS) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) melaporkan bahawa helikopter akan mendarat di tapak pendaratan,” memetik kenyataan tersebut.
Menurut pihak berkuasa tersebut, kemalangan dilaporkan melibatkan seorang kru darat manakala seorang juruterbang helikopter berkenaan dilaporkan selamat.
Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan sebuah helikopter terbakar di tapak pendaratan berhampiran Jalan Lama Kuala Lumpur - Bentong, Pahang ketika menjalani kerja-kerja pengudaraan.
Insiden berkenaan mengorbankan seorang warga Indonesia manakala juruterbang dilaporkan selamat.
#Jalan Lama KL-Bentong #terkini #Warge Indonesia #MHS Aviation Bhd #Tenaga Nasional Bhd #nahas helikopter
;