Nahas helikopter di Bentong: Siasatan BSKU dijangka selesai hari ini

Bernama
Februari 7, 2025 16:31 MYT
Nahas melibatkan helikopter jenis Bell 206L4 itu mengorbankan jurutera warga Indonesia Finsen Reskey Sembiring, 27, akibat terkena libasan bilah kipas pesawat. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUANTAN: Siasatan di lokasi insiden helikopter yang terbakar ketika mendarat untuk mengisi minyak di Batu 9, Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan dijangka siap hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar ketika dihubungi Bernama berkata buat masa ini BSKU masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan bangkai helikopter itu akan dibawa keluar selepas siasatan selesai dijalankan.
Semalam Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan BSKU akan melakukan siasatan lanjut mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Nahas melibatkan helikopter jenis Bell 206L4 itu mengorbankan jurutera warga Indonesia Finsen Reskey Sembiring, 27, akibat terkena libasan bilah kipas pesawat.
Bagaimanapun, juruterbang helikopter berkenaan yang juga warga Indonesia terselamat dalam insiden tersebut.
-- BERNAMA
#nahas helikopter #Bentong #hasil siasatan #BSKU #terkini
;