Nahas helikopter Cameron Highlands: BSKU MoT siasat lanjut - Wee

Bernama
Oktober 26, 2022 22:17 MYT
Pesawat yang dinaiki lima anggota pasukan perubatan dan seorang juruterbang itu terhempas di kawasan Brinchang, Cameron Highlands tengah hari tadi. - Gambar/ JBPM
KUALA LUMPUR: Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan lanjut berhubung nahas helikopter yang terhempas di Cameron Highlands, Pahang hari ini.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata pegawai berkaitan turut diarahkan untuk menambah baik dan mengekalkan pemeriksaan pematuhan keselamatan oleh pengendali swasta dalam industri penerbangan tempatan.
"Mereka perlu lebih berwaspada, lebih-lebih lagi faktor cuaca buruk pada ketika ini. Saya memantau keadaan dan situasi yang dikemas kini oleh CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia) dari semasa ke semasa," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya juruterbang bersama lima penumpang terlibat ditemui selamat dan dibawa ke hospital.
Wee berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta polis menjalankan tugas sehabis baik dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kesemua mangsa nahas itu.
Pesawat yang dinaiki lima anggota pasukan perubatan dan seorang juruterbang itu terhempas di kawasan Brinchang, Cameron Highlands tengah hari tadi.
Insiden pada 1.15 tengah hari itu berlaku ketika pesawat milik swasta berkenaan dalam perjalanan dari Lojing, Cameron Highlands ke Ipoh.
Sementara itu, syarikat operator pesawat swasta berkenaan Layang Layang Group dalam kenyataan mengesahkan helikopter terlibat adalah di bawah kendalian mereka.
Pengurus Besar Kumpulannya Kapten Shahdon Poong berkata laporan awal menunjukkan pesawat itu dalam penerbangan membawa petugas perubatan ke Tanjung Rambutan selepas berkhidmat di kawasan pedalaman Kampung Gawin, apabila ia terputus hubungan dengan Pusat Operasi Penerbangan Kumpulan Layang Layang.
"Keluarga mereka yang terlibat dalam kemalangan ini telah dimaklumkan dan bantuan akan diberi jika diperlukan.
"Sebagai mematuhi garis panduan Sistem Pengurusan Keselamatan Penerbangan, Layang-Layang Group mengambil tindakan serta-merta yang perlu bagi mengelakkan insiden dan kemalangan selanjutnya," katanya dalam kenyataan.
Shahdon berkata pihak pasukan keselamatannya akan bekerjasama rapat dengan BSKU bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan itu.
-- BERNAMA
#helikopter terhempas #Cameron Highlands #Kementerian Pengangkutan #Wee Ka Siong
;