Nahas enam kenderaan: Pemandu lori positif dadah

Bernama
September 28, 2024 14:35 MYT
Seorang wanita berusia 31 tahun maut akibat tersepit, dan empat lagi cedera dalam kemalangan ini. -Gambar fail/Sinar Harian
SEREMBAN: Pemandu lori membawa muatan pasir yang terbabit dalam kemalangan maut melibatkan lima kereta lain dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Persiaran Golf, Nilai di sini semalam didapati positif dadah.

Ringkasan AI
  • Pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan maut di Persiaran Golf, Nilai didapati positif dadah jenis methamphetamine.
  • Seorang wanita berusia 31 tahun maut akibat tersepit, dan empat lagi cedera dalam kemalangan tersebut.
  • Pemandu lori kini direman selama empat hari sehingga 1 Oktober untuk melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai DSP Mat Ghani Lateh berkata berdasarkan ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap lelaki berusia 30 tahun itu mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
"Lelaki berkenaan kini direman selama empat hari sehingga 1 Okt ini bagi melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 3.45 petang semalam, seorang wanita berusia 31 tahun maut akibat tersepit dan empat lagi cedera manakala pemandu lori dan empat mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan awal mendapati insiden berlaku selepas lori dipandu lelaki berkenaan hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar lima kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat merah.
-- BERNAMA
#pemandu lori #nahas enam kereta #Persiaran Golf Nilai #persimpangan lampu isyarat
;