Nahas Elmina: Rakaman suara CVR berjaya dimuat turun - Loke
Hilmi Malik
Ogos 29, 2023 14:32 MYT
Ogos 29, 2023 14:32 MYT
PUTRAJAYA: Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) telah berjaya mendapatkan rakaman Kotak Perakam Suara Kokpit (CVR) berhubung nahas pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Persiaran Elmina 17 Ogos lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pasukan siasatan juga telah berjaya memperoleh rakaman suara 30 minit terakhir sehingga berlakunya nahas pada ketika itu.
“Data tersebut telah berjaya dimuat turun dan rakaman tersebut akan dihantar semula kepada pasukan siasatan di Kuala Lumpur.
“Rakaman kokpit berjaya didapatkan semula jadi semua rakaman suara tersebut pada dua juruterbang itu akan dianalisa sebaik mungkin serta apa yang berlaku di dalam kokpit dapat dijadikan bahan siasatan untuk kenal pasti punca nahas.
“Rakaman tersebut sedang dianalisa dan kita akan keluarkan laporan awal dalam masa dua minggu lagi,” katanya ketika sidang media di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Loke bagaimanapun memberitahu pasukan siasatan ketika ini yang berada di Florida, Amerika Syarikat mengalami kesukaran untuk pulang ke Malaysia berikutan faktor cuaca yang tidak mengizinkan.
“Pasukan siasatan berdepan kesukaran untuk pulang kerana mereka sedang berdepan dengan cuaca ribut di Florida.
“Mereka (BSKU) sepatutnya pulang secepat mungkin sebaik sahaja memperoleh data rakaman suara (CVR) namun data itu telah disimpan sebaik mungkin.
“Walaupun pasukan siasatan masih belum pulang ke Malaysia, rakaman suara itu telah dihantar ke Kuala Lumpur menerusi email,” katanya lagi.
Ditanya mengenai gambaran awal berhubung punca nahas pesawat tersebut, Loke bagaimanapun enggan memberitahu secara terperinci dan menyerahkan perkara itu kepada pihak pakar.
“Saya tak mahu buat apa-apa rumusan, Ketua BSKU ada buat sedikit rumusan kepada saya tetapi saya tak akan buat sebarang pengumuman atau spekulasi.
“Biar pihak pakar kita buat analisa secara terperinci dan itu akan kita kongsikan dalam laporan awal sehinggalah pihak BSKU kemukakan laporan mereka," ujarnya lagi.
Tambahnya, proses berkenaan bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak sebaliknya lebih tertumpu kepada mengenal pasti punca utama nahas terbabit.
Nahas yang mengejutkan negara itu, telah mengorbankan 10 nyawa, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Selain itu, insiden turut melibatkan dua lagi mangsa orang awam masing-masing merupakan penunggang p-hailing Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32, dan pemandu e-hailing Sharipudin Shaari, 51, yang melalui kawasan kejadian.
#nahas Elmina
#kotak perakam suara kokpit
#Anthony Loke
#Biro Siasatan Kemalangan Udara
#pesawat terhempas