Nahas Elmina: Perakam CVR dijangka dianalisis di Florida Isnin depan

Umavathi Ramayah
Ogos 24, 2023 16:13 MYT
Pada 17 Ogos lepas, 10 individu terkorban dalam nahas itu termasuk Johari yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perakam suara kokpit (CVR) pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Persiaran Elmina, minggu lalu dijangka dianalisis di makmal di Amerika Syarikat (AS), Isnin ini.
Ia adalah cubaan kedua selepas CVR di pesawat berkenaan gagal diekstrak makmal di Singapura, sebelum ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), akan berlepas ke Florida, AS pada pukul 7 petang Khamis.
"Apabila cubaan tidak berjaya di Singapura, Ketua BSKU pulang semula ke Kuala Lumpur dan memberikan taklimat lengkap kepada saya.
“Perancangan ketika itu adalah terus ke Florida iaitu di makmal pengilang peralatan asal (OEM) bagi mendapatkan data suara dalam komponen itu.
"Bagaimana beliau perlu mendapatkan kelulusan visa terlebih dahulu dan hari ini pada jam 7 petang, beliau baru dapat berlepas ke sana. Dijangka beliau akan beberapa hari berada di sana.
"Persiapan juga sudah dilakukan di kilang OEM itu dan dijangka komponen itu akan masuk ke dalam makmal untuk dianalisa pada pagi Isnin, waktu AS," katanya lagi.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pameran Hartanah Perbadanan Aset Keretapi (RAC), seterusnya menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan bagi Pembinaan Stesen Keretapi Segambut 2, pada Khamis.
Pada 17 Ogos lepas, 10 individu terkorban dalam nahas itu termasuk Datuk Seri Johari Harun yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang.
Mangsa yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing yang menggunakan lebuh raya berkenaan.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pandangan pakar penerbangan bahawa negara mungkin berpeluang tipis mengetahui punca tepat nahas pesawat tersebut, Loke berkata, itu hanyalah pandangan peribadi.
"Ini pandangan masing-masing, tetapi, janganlah buat sebarang keputusan.
"Kita cubalah yang terbaik untuk pergi makmal dahulu dan mengeluarkan data tersebut. Harap semua pihak tidak membuat sebarang rumusan sebelum pihak kita sampai ke makmal di sana.
“Kalau tanya sesiapa pun termasuk penganalisis, memang bermacam pandangan akan diberi. Tetapi, kerajaan juga ada tugas dan tanggungjawab iaitu mencari punca nahas. Apa sahaja yang kita boleh buat, kita akan buat. Sebab itu kita usaha ke sana secepat mungkin,” ujarnya.
Dalam perkembangan berasingan Loke memberitahu, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) menawarkan 10 tapak tanah kereta api yang berpotensi tinggi dengan keluasan 369,452 ekar yang mampu membawa pulangan kepada negara.
Tapak tanah itu katanya terletak di Pulau Pinang, Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Perlis dan Kelantan dengan lima daripadanya berada dalam jajaran kereta api sedia ada yang sesuai dimajukan dengan konsep Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).
#pesawat terhempas #nahas Elmina #Anthony Loke #perakam suara kokpit
;