Nahas Elmina: Mangsa pesawat terhempas tidak mungkin dapat diselamatkan - AAIB

Bernama
September 15, 2023 13:17 MYT
Laporan setebal 60 halaman itu mengatakan bahawa pecutan jangka pendek (0.1-0.5 saat) yang biasa dilihat dalam perlanggaran pada kelajuan tinggi, membawa kepada kematian penumpang pesawat. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Laporan awal mengenai nahas pesawat Pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam sehingga mengorbankan nyawa bulan lepas mendedahkan bahawa, mangsa kemalangan itu tidak mungkin dapat diselamatkan (not survivable) disebabkan magnitud daya hentaman kuat (deceleration force) dan kebakaran dahsyat susulan nahas.
Menurut Laporan Awal Kemalangan Pesawat oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) Kementerian Pengangkutan (MOT), berdasarkan analisis visual dan pemerhatian di tempat kejadian, hujung sayap kanan pesawat itu merupakan bahagian pertama yang menghentam bumi, sebelum disusuli serta-merta dengan bahagian muncung hadapan pesawat itu pada kelajuan tinggi.
Laporan setebal 60 halaman itu mengatakan bahawa pecutan jangka pendek (0.1-0.5 saat) yang biasa dilihat dalam perlanggaran pada kelajuan tinggi, membawa kepada kematian penumpang pesawat.
"Impak sekuat ini, corak perlanggaran dan magnitud yang melebihi had toleransi manusia, menunjukkan bahawa ini bukan kemalangan yang boleh diselamatkan," menurut laporan yang diterbitkan di laman web rasmi MOT hari ini.
Dalam kejadian pada 17 Ogos lepas, pesawat persendirian dengan nombor pendaftaran N28JV yang terhempas di Elmina, Shah Alam, telah mengakibatkan 10 orang terkorban, yang terdiri daripada lapan penumpang (enam penumpang dan dua anak kapal penerbangan), serta seorang pemandu e-hailing dan seorang penunggang motosikal (p-hailing)
Merujuk kepada kebakaran susulan nahas, menurut laporan berkenaan perlanggaran dahsyat pesawat itu ke tanah, di samping kewujudan bahan api mudah terbakar di dalam tangki pesawat, mencetuskan kebakaran yang dahsyat.
Menurutnya kebakaran itu menyambar seluruh badan pesawat, penumpang pesawat serta pemandu sebuah kereta dan penunggang motosikal.
"Beberapa mayat hangus. Tiada mangsa yang terselamat dalam kemalangan dahsyat ini," menurut laporan itu.
Sementara itu MOT dalam satu kenyataan hari ini berkata laporan akhir penyiasatan akan disiapkan selewat-lewatnya Ogos tahun depan selaras dengan Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO Annex 13), yang membenarkan tempoh 12 bulan untuk memuktamadkan dokumen susulan kemalangan itu.
Pihak kementerian turut merakamkan penghargaan atas usaha gigih AAIB, dan komited untuk meningkatkan keselamatan penerbangan berdasarkan penemuan biro itu.
"MOT juga menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat dan Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB) Singapura kerana memberikan bantuan yang tidak ternilai dalam penyiasatan AAIB melalui wakil bertauliah dan penasihat teknikal masing-masing, di dalam negara dan luar negara," kata MOT.
-- BERNAMA
#nahas pesawat #Elmina #AAIB #magnitud daya hentaman kuat #bukan kemalangan yang boleh diselamatkan
;