Nahas Elmina: Kotak hitam perakam suara kokpit berjaya dibuka - Anthony Loke

Afiezy Azaman
Ogos 21, 2023 11:30 MYT
Unit Forensik Polis Diraja Malaysia melakukan siasatan di lokasi kejadian pesawat terhempas di Elmina Shah Alam. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kotak hitam perakam suara kokpit pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina, telah berjaya dibuka Sabtu lalu, walaupun keadaan luarannya rosak teruk.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, kepingan memori atau 'memory puck' yang merupakan komponen di dalam kotak hitam perakam suara kokpit itu masih berada dalam keadaan baik.
[LAPOR LANGSUNG] Nahas Elmina: Penantian keluarga berakhir, kini tunggu laporan siasatan
"Kotak hitam perakam suara kokpit pesawat telah dihantar ke makmal pada Jumaat lepas dan apabila sampai pihak Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) mendapati bahawa ia telah rosak teruk di luarnya.
"Selepas itu kita mendapat bantuan teknikal daripada Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura (TSIB) dan pakar-pakar mereka juga datang pada hari yang sama.
"Sabtu lalu, kotak hitam perakam itu telah dibuka untuk mendapatkan 'memory puck' tersebut dan ia masih berada dalam keadaan baik. Namun kita tiada peralatan untuk mengambil data tersebut jadi ia telah dihantar ke Singapura Ahad lepas," katanya kepada pemberita, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Loke berkata, ketika ini 'memory puck' itu masih berada di Singapura bersama pasukan BSKU dan TSIB untuk cuba mendapatkan data rakaman berkenaan.
Jelasnya, fokus utama ketika ini adalah untuk cuba mendapatkan data rakaman kokpit pesawat untuk tempoh 30 minit sebelum pesawat itu terhempas.
"Pada ketika ini, kita sedang cuba mendapatkan data berkenaan dan ia masih belum mempunyai keputusan," ujarnya.
Mengulas mengenai cabaran mendapatkan data rakaman berkenaan, Loke berkata, kotak hitam berkenaan berada dalam keadaan tidak sempurna.
"Jika ia berada dalam keadaan baik sudah tentu cepat untuk dapatkan perakam data tetapi sekarang ia menghadapi beberapa masalah teknikal yang cuba diatasi oleh pakar-pakar.
"Jadi saya berharap semua pihak memberikan sedikit masa kepada pakar-pakar kita untuk cuba mendapatkan perakam data tersebut, setakat ini belum dapat lagi," katanya.
Selain itu, Loke berkata, BSKU akan mengeluarkan laporan awal berhubung nahas pesawat tersebut dalam tempoh tidak lebih dari sebulan.
"Ia akan dibantu beberapa pihak termasuk pakar dari Amerika Syarikat kerana pesawat berkenaan adalah buatan negara itu," katanya.
Pada Khamis lalu, seramai 10 mangsa disahkan terkorban dalam nahas pesawat jenis jet peribadi itu.
Mangsa terdiri daripada lapan penumpang dan kru pesawat, selain dua orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di lokasi nahas.
#nahas Elmina #kepingan memori #Anthony Loke Siew Fook #kotak hitam perakam suara kokpit
;