Nahas Elmina: Kematian 10 mangsa diklasifikasi SDR

Bernama
Ogos 22, 2023 18:29 MYT
Hussein berkata siasatan insiden tersebut masih dijalankan dan buat masa ini nahas tersebut dilihat sebagai kes kemalangan semata-mata. - Gambar fail
SHAH ALAM: Polis setakat ini mengklasifikasikan kematian 10 mangsa yang terlibat dalam kejadian nahas pesawat terhempas berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, pada Khamis lepas sebagai kematian mengejut (SDR).
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan insiden tersebut masih dijalankan dan buat masa ini nahas tersebut dilihat sebagai kes kemalangan semata-mata.
"Kami akan menunggu laporan daripada Biro Keselamatan Kemalangan Udara (BSKU) yang dijangka mengambil masa kira-kira sebulan untuk tindakan selanjutnya jika perlu," katanya pada sidang media bagi hebahan PDRM Selangor Merdeka Ride Karnival di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Dalam pada itu, Hussein berkata sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut tidak seharusnya ditimbulkan kerana akan mengganggu emosi waris keluargsa mangsa.
"Ada spekulasi berhubung unsur jenayah dan sebagainya, perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana akan menggusarkan keluarga mangsa. Saya nasihatkan kepada awam, ada sebarang maklumat terus salurkan kepada polis untuk siasatan lanjut, itu sebaiknya," katanya.
Pada Ahad lepas, Hussein mengesahkan tiada lagi mana-mana individu yang terlibat dan terkorban selain daripada 10 mangsa itu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Seri Johari Harun, 53.
Turut berada dalam pesawat itu ialah juruterbang Shahrul Kamal Roslan, 41, dan pembantu juruterbang Heikal Aras Abdul Azim, 45, serta lima penumpang iaitu Muhammad Taufik Mohd Zaki, 37, Khairil Azwan Jamaludin, 43, Shaharul Amir Omar, 49, Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi, 35, dan Idris Abdul Talib @ Ramali, 41.
Dua lagi adalah orang awam iaitu penunggang p-hailing Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32, dan pemandu e-hailing Sharipudin Shaari, 51, yang melalui kawasan kejadian.
-- BERNAMA
#pesawat terhempas #Elmina #hasil siasatan #kematian mengejut
;