Nahas Elmina: Dua keping gambar pemberian terakhir ayah - Anak mangsa
Bernama
Ogos 20, 2023 16:42 MYT
Ogos 20, 2023 16:42 MYT
SEPANG: Muhammad Sharul Izuan, anak sulung Sharipuddin Shaari yang terkorban ketika nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada Khamis, tidak menyangka dua keping gambar yang dititip merupakan pemberian terakhir daripada ayahnya.
Muhammad Sharul, 16, berkata gambar itu diberikan ayahnya sewaktu mereka sekeluarga dalam perjalanan ke sebuah pasar raya di Sepang minggu lepas.
"Masa dalam perjalanan ke 'mall' untuk beli buku adik, dia (arwah ayah) tiba-tiba bagi dua gambarnya untuk saya simpan. Dia kata, ambil dan simpan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini.
Dalam kejadian kira-kira 2.40 petang, Khamis, Sharipuddin yang bekerja sebagai pemandu e-hailing sedang melalui kawasan terbabit sebelum pesawat yang membawa enam penumpang bersama dua juruterbang terhempas dan mengenai kereta yang dipandunya.
Sepuluh individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun terkorban setelah pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang itu terhempas.
Sharipuddin, 53, yang berasal dari Arau, Perlis meninggalkan seorang isteri, Suriana Muda, 43 dan dua anak iaitu Muhammad Sharul, serta Nur Izzara Arissya yang berumur sembilan tahun.
Muhammad Sharul yang merupakan pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi, berkata pada pagi hari kejadian (Khamis), dia sempat bertegur dengan ayahnya sebelum ke sekolah.
"Hari Rabu sebelum itu, biasanya ayah akan makan malam, tapi malam itu dia tidak mahu makan dan hanya suruh saya sahaja yang makan," katanya.
-- BERNAMA
#pesawat terhempas
#nahas Elmina
#anak mangsa
#Sharipuddin Shaari
#titip gambar
#Muhammad Sharul Izuan