Nahas Elmina: Dua juruterbang cukup rehat, tiada masalah kesihatan

Irwan Muhammad Zain
September 15, 2023 11:20 MYT
Laporan awal nahas Elmina menyebut bahawa faktor kesihatan dan psikologi diketepikan sebagai punca nahas tersebut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Laporan awal nahas pesawat Beechcraft Model 390 Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu mendapati kedua-dua juruterbang mendapat rehat yang cukup sebelum penerbangan.
Menurut laporan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan pada Khamis, kedua-dua juruterbang itu tidak mempunyai masalah perubatan serius berdasarkan sejarah kesihatan dan pemeriksaan fizikal.
Sehubungan itu, laporan berkenaan menyebut, faktor kesihatan dan psikologi diketepikan sebagai punca nahas tersebut.
Laporan awal tersebut juga memaklumkan, transkripsi awal fail audio perakam suara kokpit pesawat itu juga telah selesai dan analisis sedang dijalankan.
Menurut Kementerian Pengangkutan, transkrip hanya akan dimasukkan dalam laporan akhir jika perlu.
Dalam masa sama, kementerian berkenaan menjelaskan, punca nahas pesawat terbabit hanya akan didedahkan dalam laporan akhir.
Laporan awal itu juga menyatakan pesawat tersebut tidak dapat diselamatkan kerana magnitud data nyahpecutan dan kebakaran selepas kemalangan.
Hasil siasatan ke atas pesawat mendapati ia mempunyai sijil kelayakan udara yang sah dan dikekalkan mengikut peraturan.
Laporan tersebut juga menyatakan tiada bukti bukti ketidakupayaan atau faktor fisiologi yang menjejaskan prestasi kru penerbangan.
Selain itu, insiden berlaku pada waktu siang dengan penglihatan yang jelas dan sesuai seperti yang dilaporkan dalam keadaan meteorologi atau kaji cuaca.
“PIC (person in command) telah dilesenkan dan layak untuk penerbangan mengikut peraturan sedia ada,” katanya lagi.
Pada 17 Ogos lalu, negara dikejutkan dengan insiden pesawat ringan jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Selangor dan mengorbankan 10 individu termasuk pemandu kereta dan penunggang motosikal
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu disahkan maut di samping dua juruterbang dan enam penumpang dalam kejadian itu yang berlaku pada pukul 2.48 petang.
Pesawat itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebelum terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam.
#nahas Elmina #laporan awal #Juruterbang #kesihatan
;