Nahas Elmina: The Content Forum gesa pelaporan penuh empati, belas kasihan
Astro Awani
Ogos 21, 2023 11:40 MYT
Ogos 21, 2023 11:40 MYT
KUALA LUMPUR : Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (The Content Forum) menggesa para wartawan dan organisasi media untuk memberi keutamaan terhadap empati dan belas kasihan di samping mengejar kebenaran dalam pelaporan.
The Content Forum yang merupakan organisasi kawal selia sendiri dan forum industri yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengulas berkenaan laporan nahas pesawat yang terhempas di Bandar Elmina baru-baru ini.
The Content Forum dalam satu kenyataan menjelaskan pihaknya percaya dengan peranan penting kewartawanan dalam menyampaikan maklumat yang tepat di samping mengekalkan rasa hormat terhadap individu dan keluarga yang terlibat.
"Adalah penting bahawa saluran media mencapai keseimbangan antara menyediakan keperluan perincian dan menunjukkan belas kasihan apabila melaporkan kejadian seperti ini.
"Kami mengakui cabaran untuk melaporkan topik sensitif seperti ini, di mana banyak kematian dan kecederaan terlibat. Kami juga memahami bahawa menyampaikan maklumat yang berkaitan kepada
orang ramai diutamakan, termasuk butiran yang diberikan oleh penyelamat dan pegawai mengenai
keadaan sekitar penemuan.
"Bagaimanapun, adalah penting juga bagi media untuk menggunakan budi bicara 'editorial' dengan mempertimbangkan akibat penerangan grafik pada pembaca dan individu yang terjejas dan mereka
keluarga," ujarnya.
Pada masa sama pihaknya menegaskan, pelaporan yang bertanggungjawab memerlukan penyediaan maklumat yang tepat sambil mengelak unsur-unsur sensasi, untuk mengekalkan penghormatan sepenuhnya terhadap maruah dan privasi mangsa dan orang tersayang.
Insiden ini menjadi peringatan yang jelas tentang tanggungjawab etika yang diamanahkan kepada para pengamal media.
The Content Forum juga menekankan kepentingan untuk pengguna media sosial untuk turut membuat pertimbangan yang wajar dan empati apabila menyebarkan atau menyiarkan semula maklumat yang berkaitan dengan tragedi ini dan lain-lain seumpamanya.
"Sama seperti kewartawanan yang bertanggungjawab adalah penting di mana perkongsian kandungan yang berhemat juga memainkan peranan penting dalam memupuk empati dan menggalakkan wacana beretika.
"Kami nasihatkan pengguna media sosial untuk mempertimbangkan kemungkinan akibat daripada siaran mereka terhadap individu tersebut dan keluarga yang terjejas akibat kejadian tragik seperti ini.
"Bersama-sama, kita boleh mencipta landskap media yang menegakkan pelaporan yang bertanggungjawab dan menghormati maruah dan privasi mereka yang terjejas," katanya.
Pada Khamis, seramai 10 mangsa disahkan terkorban dalam nahas pesawat jenis jet peribadi itu.
Mangsa terdiri daripada lapan penumpang dan kru pesawat, selain dua orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan melalui lokasi nahas.
Pesawat itu sedang dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang dan mendapat pelepasan untuk mendarat pada jam 2.50 petang.