Nahas elak babi, pemuda maut motosikal jatuh gaung
Sharom Abu Bakar
Januari 5, 2019 08:12 MYT
Januari 5, 2019 08:12 MYT
Seorang pembonceng motosikal maut manakala rakannya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas ketika cuba mengelak seekor babi melintas jalan.
Kejadian berlaku di kilometer 4 Jalan Jongok Batu-Kuala Jengai di sini kira-kira jam 6 petang Jumaat.
Nahas menyebabkan mangsa Izzul Fitri Rosdi, 18, meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Desa Kuala Jengai untuk mendapatkan rawatan akibat cedera parah.
Ketika kejadian, kedua sahabat itu dalam perjalanan dari arah Jongok Batu menghala ke Kuala Jengai.
Sejurus tiba di lokasi nahas, motosikal yang ditunggangi Muhammad Hafeezi Mohd Shamsuddin dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh kedalam gaung.
“Kejadian berlaku semasa hendak ambil selekoh, kami cuba nak mengelak melanggar seekor babi.
“Semasa mengelak itulah motosikal masuk gaung. Saya tercampak dan dihempap oleh motosikal. Rakan-rakan lain kemudiannya datang menolong mengangkat motosikal dan panggil orang kampung membantu,” kata Muhammad Hafeezi.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat.
Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1 ) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ ) 1987.