Nahas dua kereta di Jalan Jelapang ragut satu nyawa
Abd Razak Mohd Ali
Julai 4, 2024 10:00 MYT
Julai 4, 2024 10:00 MYT
IPOH: Seorang maut manakala seorang lagi cedera selepas dua buah kereta yang mereka pandu terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Jelapang, di sini, malam tadi.
Mangsa yang maut disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak perubatan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 10.21 malam.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya telah dikejarkan ke lokasi.
“Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis Proton Waja dan Nissan Ad Resort, masing-masing dipandu oleh seorang lelaki.
“Mangsa di dalam kereta Proton Waja telah dibawa orang awam ke hospital manakala seorang lagi yang menaiki Nissan Ad Resort telah tersepit dan disahkan maut oleh pihak KKM,” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan ‘size-up’ seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota menggunakan peralatan hidrolik untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Suhaimi Abd Samad tamat sepenuhnya pada jam 11.50 malam.