Nahas di Kota Tinggi: Satu maut, 13 cedera termasuk 12 anak yatim
Sinar Harian
November 4, 2023 12:50 MYT
November 4, 2023 12:50 MYT
KOTA TINGGI: Seorang pemandu maut manakala 13 lagi cedera temasuk 12 dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Bandar Tenggara (Peyara) selepas terlibat kemalangan di Kilometer 9.5 Jalan Sungai Sayong-Tenggara, dekat sini pada Jumaat.
Kemalangan pada jam 6.10 petang itu melibatkan kereta Nissan Sentra dipandu seorang lelaki dengan sebuah van Kia Pregio yang membawa 12 anak yatim dari Peyara.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kemalangan berlaku ketika kereta terbabit dalam perjalanan dari arah Jalan Bandar Tenggara menuju ke Kota Tinggi.
"Semasa sampai di tempat kejadian kereta tersebut cuba untuk memotong dan masuk ke laluan bertentangan lalu terlanggar van tersebut.
"Akibat pelanggaran itu pemandu kereta berkenaan tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, pemandu van berusia 41 tahun bersama 12 penumpang yang merupakan anak yatim dari Peyara cedera ringan dan dirujuk ke Hospital Kulai untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan menyebabkan kematian, jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tenggara, Pegawai Bomba Kanan II Awang Ismail Awang Hanafli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.37 malam.
Berikutan itu katanya, seramai tujuh anggota bomba dibantu sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kemalangan mengakibatkan pemandu kereta berkenaan, Aminudin Sanusi, 54, tersepit.
"Mangsa yang dikeluarkan menggunakan peralatan khas, disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir," katanya. - Sinar Harian