Nahas di KM306.1 PLUS: Seorang lagi warga Bangladesh maut
Bernama
April 11, 2024 05:30 MYT
April 11, 2024 05:30 MYT
IPOH: Seorang lagi warga Bangladesh yang terbabit nahas jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan pada Rabu meninggal dunia semalam, menjadikan keseluruhan empat mangsa maut setakat ini.
Ketua Polis Daerah Kampar Supt Mohamad Nazri Daud yang mengesahkan perkara itu berkata Mohammad Sohel, 24, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
"Mangsa mengalami kecederaan di perut, kepala serta tangan kiri akibat daripada kemalangan tersebut," katanya dalam kenyataan di sini.
Pada Rabu, tiga warga Bangladesh maut manakala seorang cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra yang dinaiki mereka terbabas akibat tayar pecah sebelum dirempuh sebuah lori tanpa muatan.
Dalam kejadian pukul 1.49 tengah hari itu, tiga penumpang MPV itu, Abdullah Mohammad, 31, Ali Askar serta Md Sohel Miah maut di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, pemandu Md Kobir Hossain, 32, dan tiga lagi penumpang Md Saiful Islam, 25, Md Raju Miah, 27, dan Sohel Rana, 30, tidak mengalami kecederaan.
Mohamad Nazri berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA