Nahas bas: Waris mangsa berkumpul di HKL
Bernama
Ogos 22, 2013 12:45 MYT
Ogos 22, 2013 12:45 MYT
Kesedihan dan kesayuan menyelubungi bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini ketika waris mangsa yang terkorban dalam kemalangan bas ngeri di Genting Highlands berkumpul untuk mengenal pasti dan membawa pulang mayat mangsa.
Ada antara anggota keluarga itu dilihat menangis teresak-esak dan enggan ditemu bual media.
Menurut seorang jurucakap HKL, setakat 11 pagi ini, bedah siasat selesai dijalankan ke atas 30 mayat dan 17 lagi mayat telahpun dikenal pasti.
Proses pengecaman masih berjalan ketika anggota keluarga menjalankan urusan menuntut mayat orang tersayang.
Wakil media, yang menunggu seawal 7 pagi, tidak dibenarkan memasuki perkarangan bilik mayat.
Sementara itu Yayasan Tzu Chi, sebuah pertubuhan kemanusiaan bukan kerajaan, turut memberi perkhidmatan untuk membantu anggota keluarga mangsa.
Tiga puluh tujuh orang termasuk pemandu bas terbunuh dalam kemalangan di KM3.5 Jalan Genting Highlands pada 2.22 petang semalam.
Bas yang membawa 52 penumpang, termasuk beberapa warga asing itu, sedang menuruni laluan curam dari Genting Highlands menghala ke pusat bandar raya apabila terjunam ke dalam gaung.
Suasana di sekitar bilik mayat menjadi semakin sibuk menjelang waktu tengah hari apabila lebih ramai kaum keluarga yang tiba untuk membantu proses pengecaman mayat.
Sebahagian daripada anggota keluarga mangsa menunggu dengan penuh gundah di khemah yang didirikan oleh Yayasan Tzu Chi.
Beberapa buah kereta mayat juga dilihat memasuki perkarangan bilik mayat pagi ini.