Nahas bas: Tukang masak jadi mangsa selepas tukar rancangan

Bernama
Disember 25, 2016 16:21 MYT
Jasad mendiang Wong Kok Chan dibawa keluar dari Rumah Mayat Hospital Sultanah Fatimah untuk dibawa pulang ke Temiang, Seremban, Ahad. -Bernama
Keluarga mendiang Wong Kok Chan tidak menyangka tindakannya ke Johor Bahru mendapatkan bas untuk pulang ke Seremban, mengakibatkan beliau menjadi antara 14 mangsa yang maut dalam nahas bas ekspres di Pagoh, semalam.
Abang mangsa, Wong Kok Huen, 40, berkata adiknya yang berusia 32 tahun bekerja sebagai tukang masak di Singapura biasanya menaiki bas dari republik itu pada pukul 9 malam.
"Namun beliau terpaksa mengambil bas di Larkin kerana tiket bas telah habis kerana musim perayaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Pakar Sultanan Fatimah (HPSF) hari ini.
Kok Huen berkata dia ada menghubungi adiknya malam kemarin (Jumaat) untuk menjemputnya di stesen bas Seremban, namun diberitahu akan menaiki teksi sebelum akhirnya bertindak ke Johor Bahru untuk menaiki bas.
Beliau juga berkata berita kematian adiknya hanya diketahui apabila menerima panggilan dari hospital pada pukul 3 petang semalam.
Difahamkan identiti mendiang adalah antara yang terakhir dikenal pasti daripada semua mangsa yang terkorban dalam nahas di KM 137.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Pagoh.
Rakan mangsa, Lee Kim Tong berkata sebelum mendapat panggilan dari hospital, keluarga mendiang dan rakan-rakannya mencari maklumat mengenai kemalangan itu menerusi carian dalam talian namun gagal.
"Mulanya kami lega apabila mendapat berita tiada mangsa berbangsa Cina. Bagaimanapun, kerana rasa tidak sedap hati apabila gagal menghubungi mangsa, saya dan ahli keluarga meninggalkan nama dan nombor telefon kepada pihak berkuasa," katanya.
Kim Tong berkata mendiang meninggalkan seorang balu dan dua anak, masing-masing satu perempuan dan lelaki, berumur tiga dan satu tahun.
"Isteri mangsa dan anaknya kini bercuti di Hui-pei, China dan akan pulang ke tanah air petang ini setelah dimaklumkan kematiannya," katanya.
Menurut Kim Tong, mendiang adalah seorang yang pendiam dan tidak ramai kenalan tetapi lebih gemar bersosial menerusi alam maya.
"Namun mendiang seorang yang baik dan suka membantu kawan-kawan," katanya.
Beliau berkata mayat mendiang telah dituntut di hospital itu dan akan ditempatkan di Tokong Heam Lam Toh Tag, Jalan Tun Dr Ismail, Seremban hari ini, bagi membolehkan keluarga dan rakan-rakan memberi penghormatan terakhir. -- BERNAMA
#nahas bas ekspres #tukang masak #wong kok chan #Wong Kok Huen
;