Nahas bas Muar: Keluarga pertikai ketiadaan pemandu kedua

Astro Awani
Disember 25, 2016 18:55 MYT
Jenazah dua beranak itu dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira jam 6.30 pagi sebaik selesai solat subuh.
Ahli keluarga kepada Zakeer Zubri -- pemandu bas ekpres yang maut dalam insiden kemalangan di Muar, Johor awal pagi semalam -- menuntut penjelasan daripada syarikat bas berkenaan tentang ketiadaan pemandu kedua ketika insiden pada Sabtu.
Wakil keluarga, Abdul Shukoor Abdul Rahim menegaskan syarikat tersebut perlu beri penjelasan kerana Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan jelas mensyaratkan semua pengusaha bas ekspres perlu menyediakan pemandu kedua bagi semua perjalanan jarak jauh.
Katanya, walaupun wakil syarikat berkenaan telah menemui keluarga mereka semalam, pihaknya masih belum berpuas hati dan tidak akan berdiam diri sehingga mendapat penjelasan penuh daripada majikan Zakeer, Goldstar Ekspress (M) Sdn Bhd.
“Kami akan bertindak mengikut undang-undang. Sama ada bas dipandu laju atau ada yang tidak kena pada bas itu, kami tidak dapat menjawab sehinggalah pasca nilai selesai,” kata Abdul Shukoor.
Abdul Shukoor berkata demikian selepas majlis pengebumian Zakeer dan anak perempuannya Nur Natasha Zahra yang berusia satu tahun di tanah perkuburan Islam Masjid Jamek Hashim Yahya di Jalan Perak, dekat sini, pada Ahad.
Jenazah dua beranak itu dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira jam 6.30 pagi sebaik selesai solat subuh.
Dalam pada itu, Abdul Shukoor menjelaskan anak saudaranya itu mempunyai pengalaman bekerja sebagai pemandu bas kilang sebelum menyertai syarikat bas ekspres berkenaan tiga bulan lalu.
Justeru, beliau merayu kepada semua pihak supaya menghentikan spekulasi sehingga pihak berkuasa melengkapkan siasatan berhubung kemalangan tersebut.
Menurutnya, keluarga mereka turut merasai penderitaan kesemua waris penumpang kerana insiden berkenaan turut mengorbankan nyawa Zakeer dan anak perempuannya.
Dalam kejadian malang itu, 14 penumpang terbunuh manakala 16 yang lain cedera selepas bas yang dipandu Zakeer terjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter dekat Muar, Johor pada jam 3.40 pagi Sabtu.
Isteri Zakeer yang turut berada di dalam bas berkenaan cedera parah dan masih dirawat di Hospital Sultanah Fatimah di Johor.
#ketiadaan pemandu kedua #nahas bas ekspres muar #pemandu bas ekpres #zakeer zubri
;