Nahas bas: Lapan rakyat Malaysia masih dirawat di Chiang Mai - Duta

Bernama
Disember 23, 2015 02:54 MYT
Beberapa rakyat Malaysia yang cedera akibat terlibat dalam kemalangan bas di Doi Saket kini dirawat di hospital di wilayah utara Thailand. - Foto AFP
Lapan daripada sembilan rakyat Malaysia yang cedera akibat nahas bas pelancong di Chiang Mai, Thailand, masih dirawat di tiga buah hospital di daerah utara Thailand itu.
Duta Malaysia di Thailand Datuk Nazirah Hussain dalam kenyataan yang terbaharu hari ini, berkata seorang daripada mereka, Lim Ah Gek berada dalam keadaan koma dan dirawat di Maharaj Nakorn Hospital.
Empat yang lain iaitu Tan Tang Soon, Ker Shin Hui, Lim Guat Huay dan Lim Jia Miem dirawat di Hospital Mc Cormick.
Tiga lagi iaitu Goh Bak Chai, Ng Too Hiyok dan Teo Tien Chor dirawat di Bangkok Hospital.
"Pihak kedutaan masih memantau keadaan mereka," katanya.
Awal pagi ini, kesemua jasad 13 rakyat Malaysia yang maut dalam nahas Ahad lepas, tiba di tanah air melalui penerbangan ihsan menggunakan dua pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Thailand.
Seorang mangsa yang cedera turut dibawa pulang.
BACA: Pesawat Hercules C-130 bawa pulang mangsa nahas di Chiang Mai
Menurut laporan berita antarabangsa, bas yang membawa 22 warganegara Malaysia terbabas selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan pikap ketika dalam perjalanan dari Chiang Rai ke Chiang Mai pada pukul 11.30 pagi waktu tempatan Ahad.
VIDEO: Waris 13 rakyat Malaysia maut di Chiang Mai dibayar RM200,000
BACA: Najib arah penerbangan ihsan bawa pulang mangsa nahas bas Chiang Mai
#Chiang Mai #Doi Saket #Hospital #kemalangan #mangsa #terbabas #Thailand