Nahas bas Jalan Kuantan-Segamat: Ujian air kencing, darah pemandu bas diambil

Sinar Harian
Jun 10, 2024 10:10 MYT
Bas persiaran yang membawa rombongan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka terbabit dalam kemalangan pada awal pagi Ahad. - Foto Sinar Harian
ROMPIN: Ujian air kencing dan darah telah diambil terhadap pemandu bas persiaran yang membawa rombongan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau, Muadzam Shah pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Nor Azman Yusof berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan ujian yang dilakukan terhadap pemandu berusia 50 tahun tersebut.
Menurutnya, tiada tangkapan dibuat setakat ini dan menghargai kerjasama baik semua yang terlibat dalam kes terbabit.
"Siasatan secara menyeluruh masih dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Setakat ini, empat mangsa terkorban dalam nahas tersebut iaitu Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Hasnatul Adilah Hassan, 48; pemandu kedua bas, Hadi Asyraf Mad Idris, 29, pembantu operasi sekolah, Hamzah Ahmad, 60 dan guru, Dahlia Ahmad berusia 52 tahun.
Seramai 12 individu yang terlibat dalam kemalangan itu masih menerima rawatan di hospital daerah ini, Kuantan, Segamat dan Melaka.
Dalam nahas terbabit, bas yang membawa 37 penumpang dan dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.
Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan guru SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.
Artikel asal ini diterbitkan di portal Sinar Harian
#ujian air kencing dan darah #rombongan guru Sekolah Kebangsaan SK Jeram Masjid Tanah #Jalan Kuantan-Segamat #treler bawa muatan gelung besi